Pencemaran sungai belum selesai, jejas mata pencarian nelayan

Ban Hong ketika meninjau projek PRIMA di Klebang, di sini pada Rabu.
Ban Hong ketika meninjau projek PRIMA di Klebang, di sini pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri digesa memandang serius isu pencemaran sungai di Klebang yang didakwa berlarutan sejak enam bulan lalu sehingga menjejaskan mata pencarian nelayan terutama yang berpangkalan di Jeti Lereh dan Klebang Besar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, masalah dipercayai berpunca daripada kegiatan pertanian kekal itu telah banyak kali dipanjangkan kepada pihak berkenaan.

"Masalah itu diselesaikan setiap kali aduan diterima namun dalam tempoh jangka masa tertentu, pencemaran berlaku lagi seolah-olah belum ada penyelesaian yang tuntas.

"Kita harap kali ini tindakan tegas perlu diambil dan kalau boleh mereka ini perlu dihadapkan ke mahkamah kerana pencemaran yang berlaku menjadi permasalahan utama kepada nelayan-nelayan terlibat," katanya ketika ditemui di projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) di Klebang, di sini pada Rabu.

Jelas beliau, situasi itu mengakibatkan beberapa anak sungai tercemar sehinggakan airnya keruh dan bertukar kehitaman didakwa kerana kegiatan pekebun, pertanian dan sawah padi.

"Saya akan bawa isu terbabit dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan datang supaya mata pencarian nelayan tidak terus terjejas.

"Kita mahu semua pihak termasuk kementerian berkaitan dan pihak berkuasa negeri memandang serius perkara yang merupakan masalah berulang dan merosakkan sumber air di Klebang," katanya lagi.