Lori alami masalah brek, pemandu dan kelindan maut

Keadaan lori remuk selepas terlibat kemalangan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang pada Jumaat. Foto: PDRM
Keadaan lori remuk selepas terlibat kemalangan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang pada Jumaat. Foto: PDRM
A
A
A

JELEBU - Seorang pemandu lori dan kelindannya maut selepas kenderaan yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum melanggar penghadang jalan di Bukit Tangga, Jalan Seremban- Kuala Klawang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintenden Maslan Udin berkata, kejadian jam 5.15 petang itu membabitkan sebuah lori tanpa muatan dipandu lelaki tempatan berusia 50-an bersama dua kelindan warga Bangladesh dari arah Seremban menuju Kuala Klawang, Jelebu.

"Sebaik sampai jalan menurun di Bukit Tangga pemandu berkenaan hilang kawalan dipercayai mengalami masalah brek dan terbabas melanggar penghadang jalan di tepi bukit.

"Akibat kemalangan tersebut pemandu dan seorang kelindannya berusia 30-an mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Ujarnya, seorang lagi kelindan terselamat telah dibawa ke Hospital Jelebu untuk rawatan lanjut.

"Bedah siasat terhadap dua mangsa maut akan dijalankan pada hari ini (Sabtu) di Hospital Jelebu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil menyalurkannya di balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Jelebu SM Baharuddin Jamil di talian 010- 7706864," katanya.