Bantuan i-Fitri mula diagihkan 17 April

Hanafiah (dua dari kanan) menyerahkan bantuan pengurusan kepada wakil kelab warga emas pada Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di sini pada Rabu
Hanafiah (dua dari kanan) menyerahkan bantuan pengurusan kepada wakil kelab warga emas pada Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di sini pada Rabu
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bantuan i-Fitri akan mula diagihkan kepada 144,840 penerima yang layak secara berperingkat selama tiga hari bermula 17 April nanti.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan sebanyak RM300 untuk setiap Ketua Isi Rumah (KIR) itu melibatkan peruntukkan sebanyak RM43.4 juta.

Menurutnya, agihan akan dilakukan secara tunai melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

“Setiap hari, sekurang-kurangnya lapan DUN melibatkan semua Parlimen akan mengadakan agihan i-Fitri ini dan kita jangka bayaran dapat diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT di Dewan Utama, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), di sini pada Rabu.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan pengurusan sebanyak RM2,000 kepada 32 kelab warga emas yang terdapat di negeri ini dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM64,000.

Hanafiah berkata, pemberian i-Fitri kali ini tidak melibatkan kategori sebaliknya semua pemohon iaitu KIR mempunyai tanggungan dengan jumlah pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM2,500 yang layak akan menerima RM300.

Katanya, kerajaan negeri menerima kira-kira 150,000 permohonan i-Fitri dan daripada jumlah itu, sebanyak 3 peratus terpaksa ditolak antaranya kerana pendapatan melebihi syarat, kakitangan awam dan sebagainya.

Ditanya mengenai bantuan i-Fitri kepada golongan perantau, Hanafiah memaklumkan bayaran akan mula diagihkan selepas Aidilfitri nanti berikutan permohonan baru dibuka bermula 6 April lalu.

jelas beliau, permohonan i-Fitri perantau kali ini dijangka meningkat kepada 20,000 orang berbanding 4,000 orang pada tahun lalu selepas syaratnya dipinda.

“Sebelum ini, hanya KIR anak jati Terengganu dan mengundi di negeri ini sahaja yang layak mohon tapi sekarang, pasangan iaitu isteri juga boleh memohon asalkan dia lahir dan mengundi di sini,” katanya.