Perakam video boleh didakwa kerana niat aibkan

Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohamad Ismail (kiri) dan Noor Aziah
Laporan Sinar Harian pada Sabtu. (Gambar kecil: Mohamad Ismail (kiri) dan Noor Aziah
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak yang merakam dan kemudian menyebarkan video pasangan kekasih disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kereta pada Khamis boleh didakwa atas kesalahan di bawah tindakan sivil kerana berniat memalukan dan mengaibkan mereka.

Pakar Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Mohamad Ismail Mohamad Yunus berkata, pasangan berkenaan boleh mengambil tindakan undang-undang dengan bertindak menyaman pihak terbabit atas cubaan mengaibkan kehormatan mereka menerusi penularan video di media sosial.

"Pasangan itu boleh ambil tindakan saman sivil terhadap perakam dengan saman. Mereka boleh membuat laporan polis dan kemudian berurusan dengan peguam.

"Peguam yang mewakili pasangan tersebut boleh saman perakam mengikut kesalahan sivil kerana memalukan mereka di khalayak ramai.

"Malah video itu sudah tular sebelum mereka dijatuhkan apa-apa hukuman oleh mahkamah. Jadi peguam boleh saman malu dan buat tuntutan kerugian terhadap penyebar," katanya kepada Sinar Harian.

Pada Sabtu, Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse sedia menawarkan khidmat guaman secara pro-bono kepada pasangan kekasih yang tular kerana didakwa melakukan perbuatan jelik di dalam kereta, baru-baru ini.

Menurut Jimmy, selain daripada insiden tersebut, dimaklumkan juga bahawa pihak yang merakam video tersebut telah menyamar sebagai anggota polis.

Rakaman kejadian tersebut berlaku pada jam 3.03 petang, 29 Mac lalu dan tular di TikTok baru-baru ini.

Sementara itu, Mohamad Ismail berkata, perakam tidak sewajarnya menyebarkan kandungan video yang bersifat jelik dan mengancam sehingga menjadi tular di media sosial kerana ia adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Sekarang Malaysia sedang memperjuangkan prinsip maqasid al shariah di mana salah satu daripadanya adalah menjaga kehormatan dan menutup keaiban seseorang.

"Tetapi kalau niat nak sebarkan bertujuan aib dan memalukan mereka, perbuatan itu salah dari segi moral dan pandangan agama kita," jelasnya.

Bagaimanapun beliau berkata, sekiranya perakam hanya merakam bertujuan dijadikan bahan bukti untuk mengukuhkan tuduhan kepada pasangan berkenaan kerana perlakuan sumbang di tempat awam maka ia tidak menjadi suatu kesalahan.

"Ini kerana ia merupakan bukti kukuh terhadap tuduhan kepada mereka.

"Ia menjadi masalah apabila perakam menyebarkan video rakaman tersebut dengan niat mengaibkan maka ia salah dari segi undang-undang," ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad Ismail berkata, tindakan pihak terbabit mengugut dengan cuba meminta Mykad daripada pasangan berkenaan selain menyamar sebagai anggota polis merupakan perbuatan salah yang boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Perkara itu adalah suatu kesalahan kerana menyamar sebagai penjawat awam selain tiada hak untuk ambil IC seseorang.

"Pihak perakam yang menyamar sebagai penjawat awam boleh dikenakan kesalahan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan manakala mengugut pasangan pula dikenakan kesalahan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," jelas beliau.

Selain itu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Profesor Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, insiden tersebut mungkin dilakukan di tempat awam yang membolehkan perbuatan mereka dirakam oleh pihak berada di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan, ia merupakan suatu kesalahan apabila merakam secara tidak sah perbuatan berkenaan selain menularkan video dirakam itu kepada awam menerusi media sosial.

"Adalah suatu kesalahan kerana menceroboh privasi individu dan mengaibkan mereka. Perakam boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

"Perkara ini sudah tentu memberi kesan dari segi mental kepada salah seorang pelaku tersebut kerana dia masih di bawah umur 18 tahun malah mereka yang menyebarkan video itu melanggar hak privasi di bawah Konvensyen Hak Kanak-kanak dengan berkongsi video kanak-kanak di bawah umur," ujarnya.