Kanak-kanak hampir buta angkara main mercun

Salah seorang daripada empat kanak-kanak terlibat yang masih menerima rawatan lanjut kerana cedera pada mata kanan akibat letupan mercun dalam kejadian di Kuala Nerus, Selasa lalu.
Salah seorang daripada empat kanak-kanak terlibat yang masih menerima rawatan lanjut kerana cedera pada mata kanan akibat letupan mercun dalam kejadian di Kuala Nerus, Selasa lalu.
A
A
A

KUALA NERUS - Empat kanak-kanak mengalami kecederaan angkara letupan mercun yang diubah suai dalam kejadian berhampiran sebuah rumah di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian jam 10.58 malam pada hari yang sama.

Katanya, pengadu berusia 25 tahun telah membuat laporan polis mengatakan adik lelakinya telah cedera semasa bermain mercun bersama tiga lagi rakan.

"Siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam apabila kanak-kanak berusia lingkungan 8 hingga 13 tahun itu sedang bermain mercun berhampiran kawasan rumah mereka.

"Salah seorang daripada mereka telah menyalakan mercun yang telah diubah suai menyebabkan berlaku letupan yang kuat," katanya.

Beliau berkata, letupan itu menyebabkan empat kanak-kanak tersebut cedera dan telah menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Tiga daripada kanak-kanak itu mendapat rawatan pesakit luar sementara seorang daripada mereka masih lagi menerima rawatan lanjut akibat kecederaan pada mata sebelah kanan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Khamis.

Menurut Abdul Rahim, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Selain itu, pihaknya turut menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 iaitu kesalahan mengabaikan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

"Orang ramai terutama ibu bapa diminta sentiasa memantau dan mengawasi aktiviti anak-anak di bawah umur semasa mereka bermain bunga api atau mercun terutama pada musim perayaan ini.

"Pengabaian kepada kanak-kanak juga merupakan satu kesalahan yang membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap ibu bapa sekiranya berlaku kejadian seumpama itu," ujarnya.