Lantikan politik tak boleh libatkan jawatan pengerusi

Mohd Shaid selaku panelis pada Wacana Sinar siri 391 bertajuk ‘Risiko Lantik Orang Politik Terajui GLC’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
Mohd Shaid selaku panelis pada Wacana Sinar siri 391 bertajuk ‘Risiko Lantik Orang Politik Terajui GLC’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Lantikan politik boleh berlaku dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) namun tidak boleh melibatkan jawatan pengerusi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram, Mohd Shaid Rosli berkata, jawatan tersebut sepatutnya meletakkan calon Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) yang dilihat lebih profesional dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

“Katakan sekarang ini Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu, kita tunggu dan lihat.

“Sudah pastinya yang melantik itu mestilah daripada Ketua-ketua bahagian ataupun pemimpin-pemimpin parti politik itu sendiri.

“Ini realiti yang berlaku tetapi sebenarnya kita boleh ubah kepada lantikan politik boleh ada tetapi bukan sebagai pengerusi kerana pengerusi akan memilih ahli lembaganya dan pengerusi juga mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu dasar ataupun perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian selaku panelis pada Wacana Sinar siri 391 bertajuk ‘Risiko Lantik Orang Politik Terajui GLC’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada Selasa.

Turut menjadi panel ialah Ketua UMNO Bahagian Bangi, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain; Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, ujar Mohd Shaid, salah guna kuasa dalam lantikan politik hanya akan berlaku apabila seseorang ahli politik itu diberikan kuasa termasuk jawatankuasa sebagai pengerusi.

“Saya bagi contoh apabila sahabat kita dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), saya nampak masa Covid-19, semua bantuan tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada PTPTN itu, perginya kepada ketua-ketua bahagian dari parti-parti politik.

“Jadi di situ jelas nampak ketirisan dalam menguruskan jawatan itu dalam PTPTN. Ini boleh semak dan ini realiti yang berlaku.

“Sebab itu kalau jawatan pengerusi kita letak pada PTD saya yakin mereka lebih profesional dalam menguruskan (kerjanya) itu,” ujarnya.