Asyraf Wajdi dilantik Pengerusi Mara

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

KOTA TINGGI - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara) yang baharu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajun Desa dan Wilayah berkata, beliau sendiri sudah menyerahkan watikah pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang dilaksanakan di pejabat kementerian berkenaan pada Jumaat.

"(Asyraf Wajdi) Telah dilantik, bukan desas-desus lagi. Beliau telah dilantik dan saya telah serah watikahkannya pada hari Jumaat yang lalu.

"Sebab itu bukan berita politik, maka ia adalah sahih," jawabnya ringkas.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) di Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Ahmad Zahid mengulas berkenaan foto beliau sedang menyampaikan surat pelantikan kepada Asyraf Wajdi yang tular di Twitter.

Ciapan dimuat naik seorang pengguna Twitter pada Sabtu mengundang reaksi tidak senang rakyat yang mempertikaikan pelantikan bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu.

Jawatan Pengerusi Mara sebelum ini disandang Datuk Azizah Mohd Dun.

Pada Sabtu, Asyraf Wajdi dilihat memuat naik resume beliau dalam Facebook miliknya dan memaklumkan beliau kini sedang mencari kerja.

Sebelum ini, beliau menarik perhatian apabila tidak mempertahankan jawatan Ketua Pemuda UMNO dalam pemilihan parti pada kali ini.