Tertembak rakan disangka babi

Keadaan lengan mangsa selepas terkena tembakan dari rakannya ketika membersihkan kebun.
Keadaan lengan mangsa selepas terkena tembakan dari rakannya ketika membersihkan kebun.
A
A
A

BOTA - Seorang pekebun tertembak rakan sendiri selepas mengesyaki terdapat seekor babi ketika membersihkan kebun durian miliknya di Kampung Sedengka Ayer Mati, Bota Kanan, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kejadian yang berlaku jam 9 pagi itu, mengakibatkan mangsa Ramli Mat Jesam, 60, cedera di lengan kanan selepas terkena sebutir peluru dari senapang patah milik pekebun yang juga rakannya.

"Siasatan lanjut mendapati, mangsa bersama seorang lagi rakannya dikenali sebagai Zabri menerima upah daripada pemilik kebun berkenaan untuk membersihkan kebun serta menebang pokok durian.

"Semasa pengadu berjalan keliling kebun dia ternampak pokok pisang bergoyang kuat dan menjerit 'woi' sebanyak dua kali untuk menghalau haiwan yang disangkakan babi tetapi tidak berjawab," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Zainal, pemilik kebun berkenaan kemudiannya menghalakan senapang patah ke arah pokok pisang dan melepaskan satu das tembakan sebelum terdengar jeritan meminta tolong.

"Pemilik kebun tersebut berlari ke arah pokok pisang dan melihat rakannya terkena tembakan di lengan kanan tangannya lalu segera membawa mangsa ke Hospital Changkat Melintang menaiki keretanya untuk menerima rawatan.

"Doktor memaklumkan pergelangan tangan kanan dan jari mangsa tidak dapat digerakkan serta tedapat banyak lubang besar dan kecil pada lengan kanan mangsa hingga dia dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut," katanya.

Mohamad Zainal berkata, pihak polis telah menahan pemilik kebun tersebut serta merampas selaras senapang patah jenis Shotgun 12 Bore, 45 butir peluru penabur warna hijau pelbagai jenama, buku lesen memiliki senjata api dan sekeping kad senjata.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan di tempat kejadian juga telah menemui satu kelongsong peluru penabur dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960," katanya.