Jemaah Menteri setuju tubuh jawatankuasa tangani isu doktor kontrak

Dr Zaliha - Foto Bernama
Dr Zaliha - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Jemaah Menteri telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi menangani isu doktor kontrak yang menjadi topik hangat dalam negara ketika ini, kata Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Katanya, persetujuan bagi menubuhkan jawatankuasa yang akan menggabungkan beberapa kementerian dan agensi, termasuk pembabitan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali itu dicapai oleh Jemaah Menteri pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu susulan desas-desus kemungkinan mogok oleh doktor kontrak pada 3 hingga 5 April ini, dan kemunculan catatan instagram yang menggesa doktor kontrak seluruh negara tampil menyertai mogok berkenaan atau meletak jawatan secara beramai-ramai pada 1 April.

Dr Zaliha berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai mogok itu, bagaimanapun berpandangan mogok bukan satu penyelesaian terbaik terhadap permasalahan berkaitan profesion perubatan atau mana-mana skim profesional yang lain.

"Sebaliknya perkara ini perlu ditimbang dengan teliti kerana perkhidmatan kesihatan merupakan perkhidmatan kritikal, melibatkan nyawa manusia dan kesejahteraan rakyat,” menurut kenyataan itu.

Beliau berkata, kerajaan dari semasa ke semasa telah memberi respons terhadap permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan oleh anggota kesihatan, antaranya mewujudkan perjawatan tetap, penajaan latihan kepakaran atau latihan lanjutan, kenaikan pangkat secara time-based, peluang kenaikan ke gred khas dan mewujudkan gred UD56 untuk pakar perubatan dan sebagainya.

Katanya, KKM sentiasa peka dengan permasalahan serta permintaan yang ditimbulkan dan memastikan ia diteliti sesuai dengan isu semasa serta diberi penyelesaian sewajarnya berdasarkan kepada kemampuan ekonomi negara.

"Justeru, mogok bukan penyelesaian terbaik dan selaku penjawat awam, sama ada berjawatan tetap atau kontrak, mereka adalah tertakluk kepada integriti penjawat awam dan Etika Perkhidmatan Awam,” kata Dr Zaliha. - Bernama