Doktor kontrak sertai mogok boleh dikenakan tindakan

Sivanesan ditemui pemberita selepas menyempurnakan sumbangan mesin dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar.
Sivanesan ditemui pemberita selepas menyempurnakan sumbangan mesin dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar.
A
A
A

KAMPAR - Seramai 1,373 pegawai perubatan kontrak yang berkhidmat di Perak dinasihatkan untuk tidak menyertai mogok yang akan diadakan Isnin ini.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Integrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan berkata, penganjuran mogok itu dilihat menyalahi Akta Perhubungan Perusahaan 1967 dan individu terlibat boleh dikenakan tindakan.

Beliau yang juga seorang peguam turut menasihatkan kumpulan ini untuk mendapatkan nasihat perundangan terlebih dahulu sebelum melaksanakan mogok berkenaan.

"Pihak yang boleh menganjurkan mogok mengikut Seksyen 45 Akta Perhubungan Perusahaan 1967 adalah ahli-ahli kesatuan. Mereka yang tidak berkesatuan tidak dibenarkan untuk melancarkan mogok.

"Mengikut Seksyen 46 akta sama, jika melibatkan diri dalam mogok berkenaan boleh dipenjara tidak melebihi satu tahun atau denda tidak lebih RM1,000 atau kedua-duanya. Tindakan sama boleh diambil kepada penganjur," katanya ketika mengulas mogok doktor kontrak yang dikatakan bakal berlangsung dari 3 hingga 5 April ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Mesin Dialisis oleh Yayasan VKK di Hospital Kampar di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi Helmi.

Jelas Sivanesan, melancarkan sesuatu mogok perlu mengikut prosedur yang telah ditetapkan.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan masalah doktor kontrak akan dapat diselesaikan dalam tempoh beberapa tahun ini.

"Jadi saya minta doktor-doktor kontrak ini jangan ambil bahagian dalam mogok. Pelancaran mogok ada prosedurnya," katanya.

Media melaporkan kumpulan yang dikenali sebagai 'Mogok Doktor Malaysia' memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai atau meletakkan jawatan beramai-ramai pada 1 April ini.