Wanita kesunyian sasaran Love Scam, catat kerugian RM365 juta

Sebanyak 7,236 kes libat jenayah Love Scam direkodkan dari 2018 hingga Februari 2023 babit kerugian RM365 juta. Gambar kecil: Mohamed Usuf
Sebanyak 7,236 kes libat jenayah Love Scam direkodkan dari 2018 hingga Februari 2023 babit kerugian RM365 juta. Gambar kecil: Mohamed Usuf
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 7,236 kes melibatkan jenayah Love Scam direkodkan dari 2018 hingga Februari 2023 membabitkan kerugian berjumlah RM365 juta dalam tempoh tersebut.

Pemangku Timbalan Pengarah (Siasatan) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 85 peratus mangsa Love Scam adalah golongan wanita.

Beliau berkata, golongan wanita sering menjadi sasaran kerana berada dalam kesunyian dan tidak diberi perhatian.

Mohamed Usuf (depan, lima dari kiri) bergambar dengan pihak pengurusan dan pelakon filem Oppa sempena majlis pelancarannya di Maktab PDRM pada Rabu.
Mohamed Usuf (depan, lima dari kiri) bergambar dengan pihak pengurusan dan pelakon filem Oppa sempena majlis pelancarannya di Maktab PDRM pada Rabu.

Kata beliau, kajian juga menunjukkan golongan wanita sering berhubung dengan orang ramai di media sosial.

Selain itu katanya, orang ramai sering mendedahkan maklumat peribadi dan perkara tidak sepatutnya kepada khalayak ramai.

"Kita sebenarnya sering 'membogelkan' diri sendiri di dalam media sosial apabila mendedahkan perkara yang tidak perlu kepada orang ramai.

"Kesilapan tersebut diambil kesempatan dan dimanipulasi oleh suspek yang melakukan kerja penipuan atau scammer.

"Sepatutnya kita cuba merahsiakan beberapa perkara terutama dikongsikan di media sosial," katanya pada sidang akhbar pada Rabu.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran filem kesedaran Love Scam bertajuk Oppa.

Mohamed Usuf (kiri) menyampaikan sijil kerjasama PDRM dan Dream Film kepada Lin Loong sempena majlis pelancaran filem Oppa di Maktab PDRM pada Rabu.
Mohamed Usuf (kiri) menyampaikan sijil kerjasama PDRM dan Dream Film kepada Lin Loong sempena majlis pelancaran filem Oppa di Maktab PDRM pada Rabu.

Hadir sama, Ketua Pusat Pengajian Sains Penyiasatan dan Pendakwaan Maktab Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Suryani Sungit dan pengarah filem Oppa, Denil Choong Lin Loong.

Mohamed Usuf berkata, PDRM melakukan pelbagai program dan aktiviti bagi memberi kesedaran kepada orang ramai berhubung jenayah komersial serta scammer.

Beliau berkata, bukan sahaja aktiviti bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pihaknya juga turut melakukan kolaborasi dengan pihak pendidikan negara bagi membanteras jenayah.

"Kadang kala saya berfikir, apa lagi yang PDRM tidak lakukan untuk memberi kesedaran dan mencegah jenayah komersial daripada terus berlaku.

"Anda boleh namakan apa lagi yang kami (PDRM) tidak lakukan bagi mengekang jenayah ini.

"Namun pihak scammer sering mencari modus operandi baharu bagi menipu orang ramai," katanya.

Sehubungan itu kata beliau, PDRM sangat berharap orang ramai untuk sering mengunjungi media sosial JSJK bagi mendapatkan maklumat terkini.

Jelas beliau, pihaknya akan sentiasa memaparkan dan mendedahkan modus operandi terkini digunakan oleh pihak scammer.