Isu SSPN boleh menang, KWSP pun boleh – Wan Saiful

Laporan sinar pada rabu dan laporan cukai SSPN. Gambar kecil: Wan Saiful
Laporan sinar pada rabu dan laporan cukai SSPN. Gambar kecil: Wan Saiful
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan berikrar untuk terus memperjuangkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar.

Malah, beliau turut meminta rakyat untuk turut sama memberikan tekanan kepada kerajaan sehingga pengeluarannya dibenarkan sebagaimana mereka ‘menang’ dalam isu pelepasan cukai bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

“KWSP adalah wang pencarum. Bukan wang kerajaan. Kerajaan PH-UMNO ini nampaknya hidup di alam kayangan dan berterusan menafikan kesusahan dan rintihan rakyat. Sehingga wang rakyat pun mereka anggap seperti milik peribadi mereka.

“Rakyat mesti terus bersuara. Saya akan terus bersuara. Biar apa saja tekanan mereka berikan, jangan kita biarkan kerajaan bertindak sesuka hati menafikan hak rakyat.

“Kalau kita boleh menang lawan kezaliman Anwar dalam isu SSPN, kita juga boleh menang dalam isu KWSP!” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu memaklumkan, kerajaan memutuskan untuk melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM8,000 untuk simpanan bersih tahunan dalam SSPN sehingga tahun 2024.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendengar keresahan disuarakan golongan yang terkesan.

Ia akan melibatkan kehilangan hasil kerajaan sekitar RM250 juta setahun dan memanfaatkan lebih 400,000 pembayar cukai.

Tambah Wan Saiful, keputusan itu menunjukkan Anwar mengaku kalah setelah diasak oleh rakyat melalui ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

“Semasa saya berusaha menaikkan kadar pelepasan ini ke RM8,000, matlamat saya adalah memastikan kita dapat mengubah budaya rakyat daripada berhutang kepada menabung. Kerajaan PH-UMNO seharusnya menyokong matlamat ini agar anak muda tidak terus terbeban dengan hutang.

“Malangnya kerajaan PH-UMNO mempunyai niat menghapuskan insentif kepada rakyat. Sikap anti-rakyat PH-UMNO hanya berubah setelah rakyat bersuara tidak menyebelahi mereka. Sudah pasti mereka akan berlakon seolah-olah mereka mendengar suara rakyat.

“Tapi kita jangan lupa. Niat asal mereka adalah untuk menghapuskan insentif yang bagi manfaat kepada rakyat. Niat buruk ini tidak hilang dengan mudah. Kalau saya dan beberapa ahli Parlimen tidak bercakap dalam isu SSPN, entah-entah mereka akan ‘bulldoze’ dan teruskan begitu saja.

“Langkah seterusnya ialah untuk mengusahakan agar rakyat dibenarkan mengeluarkan KWSP secara bersasar,” jelasnya.