Jenayah seksual kanak-kanak membimbangkan

Eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak semakin meningkat terutama menerusi pendedahan dan perkongsian capaian bahan pornografi yang semakin meluas. - Gambar hiasan
Eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak semakin meningkat terutama menerusi pendedahan dan perkongsian capaian bahan pornografi yang semakin meluas. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Jenayah seksual melibatkan kanak-kanak sama ada secara dalam talian mahupun fizikal amat membimbangkan susulan trend tidak menunjukkan pengurangan saban tahun.

Timbalan Pengerusi Persatuan Gabungan Wanita Kedah (Wanida), Profesor Madya Dr Ummu Atiyah Ahmad Zakuan berkata, sehubungan itu usaha membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak perlu ditangani secara lebih kolektif, bersepadu dan agresif.

Menurutnya, usaha dilakukan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memasukkan penstriman seks secara langsung dan penderaan seks dalam talian terhadap kanak-kanak sebagai kesalahan baharu, diyakini mampu mengurangkan kes jenayah berkenaan.

“Usaha tersebut akan memperincikan lagi klasifikasi jenayah seksual sekali gus menyediakan perlindungan lebih meluas kepada kanak-kanak,” katanya di sini pada Selasa.

Pada Khamis, Azalina memaklumkan dua undang-undang baharu tersebut diperkenalkan berikutan kes penderaan seksual dalam talian melibatkan kanak-kanak semakin meningkat.

Undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen pada Rabu.

Ummu Atiyah berkata, perlu ada pengawalan dan pemantauan lebih rapi oleh pihak berkaitan kerana kewujudan media sosial membuka ruang baharu kepada remaja untuk berinteraksi bukan sahaja dalam negara bahkan tanpa sempadan.

“Pelbagai aplikasi media sosial digunakan remaja dan kanak-kanak seperti whatsApp, WeChat, Instagram, Facebook, MiChat, Telegram, Bigo, messenger, BeeTalk, TikTok dan Twitter yang menyumbang kepada perlakuan jenayah seksual.

“Platform tersebut menyediakan peluang kepada pemangsa, kanak-kanak dan remaja berkongsi pendapat dan perasaan, yang akhirnya memungkinkan mereka terjerumus sebagai mangsa jenayah seksual,” katanya.

Menurutnya lagi, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak semakin meningkat terutama menerusi pendedahan dan perkongsian capaian bahan pornografi yang semakin meluas.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 106,764 alamat IP berdaftar dalam negara yang membuat perkongsian pornografi kanak-kanak sejak 2017 hingga Ogos 2022. Sehingga Jun 2022, 3,532 daripada 6,775 kes kesalahan seksual melibatkan kanak-kanak direkodkan,” katanya.

Daripada jumlah itu, 3,324 kes membabitkan jenayah rogol, Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (2,483 kes), sumbang mahram (708 kes), rogol berkumpulan (175 kes), seks luar tabii (120 kes), pornografi kanak-kanak (54 kes), pengantunan kanak-kanak (25 kes) serta lapan kes cabul kehormatan.

Ummu Atiyah berharap keselamatan kanak-kanak diberikan keutamaan kerana mereka wajar dilindungi selaras komitmen Malaysia sebagai anggota Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) yang diratifikasikan pada 1995.

“Malaysia turut meratifikasikan dua Protokol CRC pada 2012 mengenai penglibatan kanak-kanak dalam konflik bersenjata dan penjualan kanak-kanak, pelacuran serta pornografi kanak-kanak.

“Ia menunjukkan komitmen negara untuk memberikan perlindungan lebih luas kepada kanak-kanak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, berdasarkan perundangan sedia ada, Malaysia turut menggariskan penyiaran bahan lucah sebagai jenayah yang boleh membawa hukuman penjara atau denda atau kedua-duanya sekali.

“Kanun Keseksaan bawah Seksyen 292, antaranya menjual, menghasil, mengedar, menyewa, menunjukkan secara awam, mengimport, mengeksport, mengambil apa apa bahagian dalam bahan-bahan lucah.

“Manakala Seksyen 293 memfokuskan aktiviti sama berkaitan bahan lucah kepada orang muda, nyanyian lucah juga adalah jenayah bawah Seksyen 294,” katanya.

Ummu Atiyah memberitahu, akta lain termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bawah Seksyen 211, berkaitan larangan ke atas penyediaan kandungan yang menyinggung perasaan, jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya.

Manakala Seksyen 213 Akta 588 berkaitan kod kandungan meliputi kandungan yang ditegah, menyinggung perasaan atau tidak senonoh serta perkara membimbangkan masyarakat.

“Ia bertepatan dengan tindakan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menerima 1,282 aduan berkaitan penyebaran kandungan lucah di Twitter, yang mana Timbalan Menteri KKD, Teo Nie Ching tegaskan kesemua aduan telah diambil tindakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” jelasnya.

Ummu Atiyah turut berkongsi hasil kajian Siong & Tarshini (2020) berkaitan kehamilan remaja di Malaysia, mendapati kehamilan luar nikah kalangan remaja dipengaruhi pelbagai faktor seperti keretakan hubungan kekeluargaan, perkembangan teknologi maklumat, pengaruh rakan sebaya, status sosioekonomi serta tahap pendidikan rendah.

“Kajian Zakaria & Zulkifli (2017) mendedahkan kebanyakan remaja terjebak disebabkan masalah di sekeliling seperti kurangnya pendedahan kesihatan reproduktif dan seksual, keluarga berantakan, sejarah penderaan seksual daripada ahli keluarga, ketagihan pornografi serta terlibat dalam aktiviti seksual luar nikah.

“Faktor-faktor tersebut dikaitkan dengan aktiviti secara rela atau paksa apabila mangsa dinodai untuk memuaskan nafsu pelaku,” ujarnya.