Syarikat p-hailing digesa wajibkan pekerja carum SKSPS

Syarikat penyedia perkhidmatan digesa agar mewajibkan penghantar makanan mencarum SKSPS. (Gambar kecil: Abdul Hakim)
Syarikat penyedia perkhidmatan digesa agar mewajibkan penghantar makanan mencarum SKSPS. (Gambar kecil: Abdul Hakim)
A
A
A

HULU LANGAT - Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia menggesa syarikat penyedia perkhidmatan itu mewajibkan pekerja sektor berkenaan mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri (SKSPS).

Timbalan Presidennya, Abdul Hakim Abdul Rani berkata, beliau meminta SKSPS dimasukkan sebagai salah satu terma dan syarat permohonan di syarikat tersebut.

Menurutnya, langkah itu dapat meningkatkan kesedaran dan melindungi pekerja sektor itu yang sentiasa terdedah kepada kemalangan ketika bekerja.

"Kita bekerja sendiri tidak mengharapkan syarikat bayar caruman tersebut, cuma mahu aspek kebajikan dan perlindungan tersebut dimasukkan dalam polisi syarikat.

"Buat dalam terma, penghantar makanan perlu mencarum SKSPS sebagai salah satu syarat kelulusan permohonan dan bagi penghantar yang tidak aktif dalam SKSPS, akaun mereka dibekukan sehingga caruman tersebut diperbaharui," katanya pada Isnin.

Mohammed Azman (dua dari kiri) menyampaikan faedah Perkeso kepada Siti Nur Aishah.
Mohammed Azman (dua dari kiri) menyampaikan faedah Perkeso kepada Siti Nur Aishah.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan faedah Perkeso kepada waris penghantar makanan, Mohamad Khairul Nizam Abdul Rashid yang maut dalam kemalangan pada 11 Mac lalu.

Abdul Hakim berkata, beliau akui cadangan tersebut bakal mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pekerja sektor itu namun berpandangan aspek kebajikan dan perlindungan diri perlu menjadi keutamaan.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang, semua mahu 'cut cost'. Pihak persatuan berusaha meningkatkan kesedaran supaya mereka dilindungi. Kami bukan orang politik tapi NGO (badan bukan kerajaan) yang menjaga kebajikan penghantar makanan," katanya.

Katanya, cadangan tersebut telah disampaikan ke Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) memandangkan NGO tidak mempunyai punca kuasa untuk membawa perkara tersebut ke syarikat perkhidmatan.

"Kita tiada saluran untuk sampaikan perkara ini kepada syarikat penyedia perkhidmatan tersebut. Penghantar makanan yang hadapi masalah pun tidak tahu cara untuk salur aduan secara bersemuka sebaliknya semua aduan dibuat melalui sistem dalam talian.

"Kami berharap kerajaan campur tangan dan perkemas dasar tersebut supaya nasib dan kebajikan penghantar makanan terbela," katanya.

Pada majlis tersebut, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menyampaikan faedah Perkeso kepada balu mangsa, Siti Nur Aishah Mohd Ali, 31, di rumah keluarga di Kampung Sungai Michu di sini.

Arwah merupakan pencarum aktif SKSPS sejak 2021 telah melayakkan isteri serta anak-anak berusia empat hingga 10 tahun menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM2,000 dan Faedah Orang Tanggungan (FOT) RM1,395 sebulan.