ADUN Chukai disindir agih ikan aya seperti beri kepada kucing

Tangkap layar video TikTok Hanafiah ketika membuat agihan ikan aya percuma di rumah penduduk di DUN Chukai, Kemaman pada Ahad.
Tangkap layar video TikTok Hanafiah ketika membuat agihan ikan aya percuma di rumah penduduk di DUN Chukai, Kemaman pada Ahad.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Selepas dikecam kerana didakwa memperlekehkan Menu Rahmah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat kini berdepan pula sindiran selepas memuat naik video agihan ikan aya atau ikan tongkol tanpa menggunakan plastik di laman sosial TikTok beliau pada Ahad.

Pengguna aplikasi itu mempertikaikan niat murni Hanafiah kerana disifatkan seperti menghina golongan miskin dan agihan ikan percuma itu dikatakan seolah-olah seperti mahu diberikan kepada kucing.

Seorang pengguna TikTok dengan nama pena Bibirhitamm1 meninggalkan komen, 'macam nak bagi kucing je YB' manakala seorang lagi pengguna dengan nama Chillipop menulis 'wi (beri) molek (elok-elok) gok (lah) ikan tu letok (letak) dalam supik (plastik) ke ni dok (tidak), pe (serupa) bagi ke (dekat) kucing je tu.' tulisnya.

Selain dua pemilik akaun itu, terdapat lagi komentar yang ditinggalkan yang turut mempertikaikan tindakan itu.

Bagaimanapun, terdapat juga komen positif yang menyokong dan mempertahankan tindakan Hanafiah dengan mengatakan pemimpin itu mempunyai misi yang jelas untuk membantu meringankan bebanan rakyat.

Setakat ini, perkongsian video yang dimuat naik sejak Ahad itu menerima lebih 90,000 tontonan dengan 953 komen.

Sementara itu, Hanafiah ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak menyangka video tersebut akan tular dan menerima jumlah tontotan yang tinggi di media sosial.

"Sebenarnya agihan ikan aya dengan tidak menggunakan plastik sudah menjadi kebiasaan di Terengganu. Ia dilakukan dari rumah ke rumah. Tak perlu datang ambil, kita hantar. Saya pun pernah buat agihan serupa sebelum ini dan tak timbul sebarang masalah.

"Jadi, saya tak terfikir untuk letak ikan itu dalam plastik kerana ia sudah besar dan mereka yang dapat ikan itu boleh terus masak. Bagi saya tiada masalah buat agihan begitu ke setiap rumah.

"Melainkan jika ikan yang diberikan itu ikan selayang atau ikan kembung. Mestilah kita masukkan dalam plastik dahulu kerana saiznya lebih kecil,"ujarnya.

Hanafiah berkata, agihan dengan cara itu juga dapat meminimumkan penggunaan plastik bagi melestarikan dan memelihara alam sekitar daripada dicemari bahan buangan daripada sisa plastik.

Difahamkan, proses agihan seekor ikan seberat antara 900 gram hingga 1.1kg (kilogram) pada Ahad itu melibatkan lebih 60 rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Kampung Paya Berenjut, Kampung Besut 2, Bakau Tinggi di dalam DUN Chukai di Kemaman.

Hanafiah yang juga Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu berkata, beliau menerima segala kecaman dan tohmahan yang diberikan pada bulan mulia ini dan menyerahkan kepada ALLAH SWT untuk menilai setiap perbuatan yang dilakukan.

"Saya terima segala kecaman dengan berlapang dada kerana ia tidak meninggalkan kesan kepada saya. Saya akan terus buat kerja dan berbakti untuk rakyat," ujarnya.

Beliau memberitahu, agihan ikan aya percuma itu akan disambung lagi pada Isnin melibatkan sekitar 55 buah rumah di dalam kawasannya.

"Hari ini kita sambung lagi agihan ikan aya seperti semalam. Kali ini masih juga diberikan kepada penduduk yang tinggal di kawasan PPRT serta mereka yang memerlukan.

"Syukurlah, untuk setiap seekor ikan aya yang diagih boleh dimasak singgang misalnya untuk dimakan oleh empat ahli keluarga. Walaupun pemberian ini dilihat kecil oleh sesetengah orang, ia dihargai oleh mereka yang memerlukan," ujar beliau.