1,000 bungkus juadah iftar untuk gelandangan setiap hari

Asmadi (kiri) bersama Badrul Jamili (dua dari kiri) menyerah juadah kepada komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang.
Asmadi (kiri) bersama Badrul Jamili (dua dari kiri) menyerah juadah kepada komuniti rentan di Jalan Wong Ah Jang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) membantu golongan rentan di sekitar bandar raya Kuantan dengan menyediakan 1,000 juadah iftar Mahabbah setiap hari sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, sebanyak 80,000 diperuntukkan dan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Dapur Infaq Ummah Kuantan bagi penyediaan makanan tersebut.

Menurutnya, juadah yang disediakan ini mampu dimanfaatkan oleh 300 hingga 500 individu daripada golongan tersebut.

"Sudah tiga tahun kita menyediakan makanan kepada golongan-golongan yang memerlukan sama ada di lorong Wong Ah Jan ini, Jalan Pasar atau pun beberapa lokasi yang memang terdapat golongan gelandangan yang memerlukan makanan.

"Walaupun mereka ini memang kita sudah beri bantuan bulanan tetapi untuk sepanjang Ramadan ini Dapur Infaq ada menyediakan sedikit jamuan ataupun iftar kepada golongan yang ada di sini," katanya ketika ditemui selepas majlis agihan juadah iftar Mahabbah di Surau Al Hidayah Komuniti Wong Ah Jang di sini.

Hadir sama, Pengasas Pertubuhan Dapur Infaq Ummah, Badrul Jamili Kamaruddin.

Badrul Jamili (kiri) dan Asmadi (dua dari kiri) menyerahkan juadah iftar kepada golongan OKU.
Badrul Jamili (kiri) dan Asmadi (dua dari kiri) menyerahkan juadah iftar kepada golongan OKU.

Asmadi berkata, selain agihan makanan berbuka puasa pihak MUIP juga menyediakan bantuan dalam bentuk barang asas yang akan diberikan kepada ketua isi rumah komuniti di sekitar kawasan itu.

"Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban kewangan mereka dalam membeli barangan keperluan asas," ujar beliau lagi.

Sementara itu, Badrul Jamili berkata, pelbagai program lain turut dilaksanakan untuk komuniti rentan di surau yang disediakan khas kepada mereka.

"Sepanjang Ramadan ini, kita bukan sediakan iftar Mahabbah sahaja, tetapi pelbagai program lain, contohnya pengisian program keagamaan di surau Al Hidayah.

"Surau ini memang ada imam khas dan ada cikgu yang kita lantik dan mereka ini yang diberikan gaji bulanan untuk mereka kendalikan program bukan setakat bulan Ramadan sahaja tetapi sebenarnya setiap hari. Program ini berjalan sejak tahun 2019 lagi," jelasnya.

Badrul Jamili menambah kelas mengaji untuk anak komuniti rentan juga turut diadakan pada setiap Selasa dan Jumaat.

Menurutnya, bagi tujuan galakan pihak MUIP menyediakan sagu hati kepada mereka.

"Kita yakin kaedah ini mampu mengajak mereka untuk mendalami ilmu agama dan dapat membaca al-Quran dengan baik," katanya.