Darul Quran Ittifaqiyah cekal beroperasi tanpa bantuan

Ismail Sabri (tengah) mengadakan lawatan bagi menyampaikan pek berbuka puasa menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Zahid
Ismail Sabri (tengah) mengadakan lawatan bagi menyampaikan pek berbuka puasa menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan pada Ahad. Gambar kecil: Mohd Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Keramat pada 14 September 2017 yang meragut 21 pelajar dan dua warden telah memberi impak besar dalam operasi pusat tahfiz tersebut sehingga kini.

Pengetuanya, Mohd Zahid Mahmood berkata, pusat tahfiz berkenaan secara perlahan-lahan bangkit semula daripada peristiwa itu walaupun beroperasi tanpa bantuan serta dana daripada pihak berwajib.

Menurutnya, selain akaun bank disekat, bantuan kewangan daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) turut dihentikan susulan kes sivil yang masih berjalan di mahkamah.

"Selepas enam tahun peristiwa tersebut, alhamdulillah kita boleh bangun dan beroperasi seperti biasa.

"Bagi kami, tiada masalah walaupun bantuan disekat kerana ALLAH SWT menghantar insan-insan yang prihatin dan sudi membantu untuk dana operasi, beri makan serta minum.

"Ia beri suntikan buat kami untuk kembali beroperasi sehingga hari ini," katanya mengenai perkembangan Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah selepas peristiwa tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menerima lawatan daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyampaikan sumbangan berbuka puasa melalui Program Kongsi Rezeki Ramadan pada Ahad.

Ismail Sabri tiba jam 3.30 petang menyampaikan 100 pek makanan kepada pelajar terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk asnaf, anak yatim dan anak-anak daripada ibu bapa yang bercerai.

Mohd Zahid berkata, pusat tahfiz itu mampu beroperasi dengan maksimum sehingga 50 pelajar namun mengehadkan jumlahnya kepada 30 orang.

"Tiada isu tidak mendapat sambutan selepas kejadian itu kerana apabila dibuka pendaftaran jumlah permohonan mencecah 200 orang.

"Selepas membuat tapisan, kami hanya terima 30 pelajar sahaja kerana isu dana, memandangkan pembelajaran di sini adalah percuma dan pelajar tidak dikenakan sebarang yuran pengajian," katanya.

Beliau berkata, pusat tahfiz itu berdaftar cuma bantuan disekat susulan kejadian tersebut.

"Kos operasi pusat tahfiz mencecah hingga RM30, 000 sebulan. Kita bukan hanya buat rayuan kepada MAIWP malah telah berjumpa secara bersemuka dengan pihak berwajib namun belum ada rezeki lagi (bantuan disambung).

"Kami berjiwa besar namun kita tiada kemampuan jadi tidak mahu mengambil risiko mengambil pelajar yang ramai kerana bimbang apa-apa masalah berbangkit di kemudian hari," katanya.

Ujarnya, pusat tahfiz itu mempunyai lima tenaga pengajar dan 30 pelajar berusia seawal 10 tahun hingga 17 tahun.