'Usah layan gesaan pengeluaran KWSP'

Mohamed Shafie
Mohamed Shafie
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) meminta kerajaan supaya tidak melayan sebarang gesaan membenarkan pengeluaran simpanan berbaki Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atas alasan impak susulan pandemik Covid-19.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal berkata, ia mengambil kira saranan dan pandangan pelbagai pihak kerana boleh mengancam kehidupan selepas persaraan.

Mohamed Shafie berkata, pihaknya berpendirian bahawa tidak perlu mengeluarkan simpanan dalam KWSP menerusi apa jua peraturan dan kerangka perundangan.

"Kita gesa supaya jangan sentuh simpanan dalam KWSP sebaliknya menggunakan pendekatan-pendekatan lain yang difikirkan relevan, sesuai dan sewajarnya.

"Kerajaan terutama Kementerian Kewangan perlu mengambil pendirian tegas dalam perkara ini demi masa depan pencarum.

"Lindungi kepentingan jangka panjang pencarum KWSP, bukannya gesaan bersifat jangka pendek," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Selasa, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menyatakan kerajaan tidak akan mengamalkan pendekatan yang populis dengan mempertimbangkan sekali lagi pengeluaran simpanan ahli KWSP.

Rafizi berkata, pengeluaran wang tersebut akan mengurangkan saiz dana itu secara mendadak dan memberi impak buruk kepada kemampuan dan fleksibilitinya, mengehadkan strategi pilihan pelaburan sehingga memberi kesan terhadap pembayaran dividennya kepada pencarum.

Sementara itu, Mohamed Shafie berkata, pihaknya juga bimbang sekiranya dibenarkan pengeluaran KWSP sekali lagi maka ia akan melemahkan kedudukan kewangan yang teruk ke atas pencarum agensi itu pada jangka masa panjang.

Beliau menambah kesan beberapa siri pengeluaran KWSP telah menyebabkan simpanan pekerja menjadi terlalu kecil, pencarum hanya mempunyai sekitar RM10,000 sekali gus perkembangan tersebut amat membimbangkan.

Menurutnya, UNI-MLC tidak pernah membantah dua keputusan yang dibuat ketika pandemik Covid-19 sebelum ini namun kini negara sudah keluar dari pandemik dan berada dalam fasa endemik.

"Kita perlu fikirkan kaedah dan cara lain untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat terutama pekerja," ujarnya.