Pasukan petugas khas ditubuh perangi nelayan asing

Muhyiddin (tengah) pada sidang media di selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini. -Foto Sinar Harian
Muhyiddin (tengah) pada sidang media di selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini. -Foto Sinar Harian
A
A
A

PUTRAJAYA - Kabinet menubuhkan pasukan petugas khas bagi membanteras pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam yang menjarah hasil laut Malaysia.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasukan petugas khas ini akan diketuai Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut dianggotai Kementerian Pertahanan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dan Kementerian Luar Negeri.

“Hasil mesyuarat Kabinet bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini, kita telah membuat keputusan untuk memperkasakan penguatkuasaan di perairan tanah air dengan menubuhkan pasukan petugas khas.

“Pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam ini serius, berdasarkan rekod sebanyak RM6 bilion setahun hasil laut kita hilang, dijarah nelayan asing, hal demikian, situasi pencerobohan sangat penting untuk diatasi,” katanya pada sidang media di selepas mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.

Menurutnya, langkah bersepadu hasil kerjasama empat kementerian ini akan dibantu oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Operasi pasukan petugas khas ini akan dilaksanakan segera bagi menghalang pencerobohan nelayan asing ini daripada terus berlaku.

“Sebelum ini kemasukan haram nelayan-nelayan asing berlaku secara bermusim, tapi mutakhir ini mereka ceroboh sewenang-wenangnya, tambahan pula sekarang musim sotong. Tindakan mereka ini jelas tidak mengendahkan undang-undang perairan Malaysia.

“Kita harap dengan tindakan ini kita dapat koordinasi mobilisasi aset agensi dengan lebih tersusun. Buat masa ini sudah 67 tangkapan telah dilakukan APMM dan agensi penguatkuasaan lain,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, tindakan ini diambil susulan aduan daripada nelayan tempatan terutamanya di Pantai Timur tentang pencerobohan nelayan Vietnam.

“Ancaman pencerobohan nelayan asing ini bukan sahaja menjejaskan nelayan tempatan, ia juga melibatkan keselamatan negara, sebab itu Perdana Menteri dan Kabinet setuju untuk tubuhkan pasukan petugas khas ini.

“Saya nak tegaskan MOA tidak pernah berikan lesen atau permit kepada nelayan asing, mungkin pencerobohan ini berlaku kesan daripada penyelewengan lesen, seba itu kita libatkan penyertaan SPRM,” jelasnya.

Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berharap dengan penubuhan pasukan khas ini dapat melakukan penyelesaian menyeluruh sebab itu kita kita kerahkan aset-aset pertahanan di perairan negara mampu mengurangkan isu pencerobohan nelayan asing ini.

Dalam pada itu, penglibatan Kementerian Luar Negeri untuk berhubung dengan kerajaan Vietnam untuk menyelesaikan masalah ini berdasarkan semangat Asean.