Harap bulan puasa ini tiada lagi cerita 'geng plastik hitam'

Gelaran ‘geng plastik hitam’ sinonim dengan individu yang tidak berpuasa pada Ramadan. - Gambar hiasan
Gelaran ‘geng plastik hitam’ sinonim dengan individu yang tidak berpuasa pada Ramadan. - Gambar hiasan
A
A
A

HARI ini seluruh umat Islam di negara ini mula menjalani ibadah puasa. Seperti mana tahun-tahun sebelumnya, sudah tentu bulan Ramadan penuh keberkatan ini amat dinanti-nantikan.

Sudah menjadi kewajipan bagi setiap umat Islam merebut peluang dengan memanfaatkan sebaik mungkin setiap detik dalam bulan Ramadan dengan perkara diredai ALLAH SWT.

Dalam keghairahan kita merebut peluang keemasan memperoleh pahala berlipat ganda sepanjang Ramadan, Merak Jalanan cuma mahu ingatkan, jangan ada pula mana-mana pihak yang mencemari bulan Ramadan ini.

Selalunya apabila tiba bulan puasa, maka muncullah kembali ‘geng plastik hitam‘. Gelaran ‘geng plastik hitam’ sinonim dengan individu yang tidak berpuasa pada Ramadan.

Mereka ini membeli makanan secara terbuka pada siang hari. Bagi mengelak aktiviti mereka dikesan pihak berkuasa, makanan akan dibungkus menggunakan plastik hitam.

Modus operandi mereka, kebanyakannya memakai topi keledar dan pelitup muka (face mask) sebelum tanpa segan silu dilihat membawa keluar bungkusan plastik hitam.

Malah, ada juga port drive thru yang membolehkan ‘kaki ponteng’ puasa ini mendapatkan bekalan mereka. Cara ini lebih mudah kerana pelanggan tak perlu keluar daripada kereta masing-masing.

Sebaliknya, mereka hanya perlu menunggu sahaja ‘juadah istimewa’ kerana pekerja kedai makan terbabit akan terus menghantar bungkusan plastik hitam ke dalam kereta.

Merak Jalanan juga mahu mengingatkan kepada peniaga makanan tidak bersekongkol dengan geng plastik hitam. Tengok betul-betul si pembeli itu, jangan ‘main lepas’.

Moga-moga tidak lagi kedengaran cerita 'geng plastik hitam' kena cekup di siang hari dan diangkut dengan van jenazah. Paling penting, semoga bulan Ramadan kali ini membawa keberkatan kepada kita semua.