42 premis makanan gagal penuhi piawaian kebersihan diarah tutup

Pegawai PKD menjalankan pemeriksaan di premis makanan menerusi OPB dijalankan sejak Januari lalu.
Pegawai PKD menjalankan pemeriksaan di premis makanan menerusi OPB dijalankan sejak Januari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 42 premis makanan diarah tutup kerana tidak memenuhi piawaian kebersihan ditetapkan menerusi Operasi Premis Bersih (OPB) yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) sepanjang Januari hingga 15 Mac lalu.

Pengarah JKNS, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata, sebanyak 673 premis diperiksa di sembilan daerah sepanjang tempoh itu.

Menurutnya, operasi terbabit bertujuan memastikan premis makanan bebas daripada sebarang keadaan yang boleh menjejaskan kesihatan atau penyebab pencemaran makanan.

"Premis yang diarah tutup disebabkan terdapat urungan lipas, lalat dan tikus (LILATI) selain mendapat markah dimerit rendah.

"Selain itu, sebanyak 462 Notis 32B (notis memerintahkan kehadiran di mahkamah), di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009 dengan nilai kompaun berjumlah RM287,200 telah dikeluarkan kepada pemilik premis, wakil premis dan pengendali makanan," katanya daam satu kenyataan pada Selasa.

Menurutnya, JKNS sentiasa peka terhadap status keselamatan dan kualiti makanan yang dijual kepada orang ramai khususnya melibatkan aspek kebersihan premis makanan.

Pegawai PKD melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis makanan dalam OPB dijalankan sejak Januari lalu.
Pegawai PKD melakukan pemeriksaan di salah sebuah premis makanan dalam OPB dijalankan sejak Januari lalu.

"JKNS meminta pengusaha makanan untuk sentiasa memastikan premis makanan dan produk makanan yang dijual mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

"Pengguna pula dinasihatkan supaya sentiasa peka dan bijak memilih premis makanan yang bersih dan selamat.

"Tindakan yang mudah ini dapat membantu mereka memperolehi makanan yang selamat dan berkualiti serta mengelakkan atau mengurangkan risiko daripada menjadi mangsa keracunan makanan," ujarnya.

Dalam pada itu, Sha’ari berkata, pengguna boleh menyalurkan maklumat berkaitan premis kotor atau sebarang aduan berkaitan produk makanan atau premis penjualan makanan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SiSPAA) atau di Facebook JKNS.