Kenyataan Khalid gambarkan PH tidak sepakat

Rizam Ismail
Rizam Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, perlu menghormati had bidang kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dan tidak sewenang-wenangnya membuat kenyataan untuk melaksanakan pilihanraya pihak berkuasa tempatan (PBT) tanpa merujuk kepada pihak yang berkaitan.

Ketua Pembangkang Selangor, Rizam Ismail, berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi isyarat jelas bahawa pilihan raya PBT tidak akan dilaksanakan, justeru kenyataan Khalid dilihat seolah-olah bercanggah dengan konsep kesepakatan yang sepatutnya diamalkan dalam kerajaan.

Menurutnya, perkara berkaitan PBT adalah di bawah bidang kerajaan negeri, dan Khalid seharusnya merujuk kepada kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan.

"Kegusaran Dr Mahathir tentang kemungkinan pilihanraya PBT boleh menggugat keharmonian sesama kaum di negara ini juga ada asasnya dan atas sebab ini jugalah pilihanraya PBT dimansuhkan sebelum ini.

"Kata putus yang dibuat Dr Mahathir sepatutnya dihormati dan disambut oleh kepimpinanan PH, tambahan pula Khalid adalah menteri penuh Kerajaan Persekutuan.

"Kenyataan Khalid ini memberi gambaran bahawa beliau tidak menghormati kenyataan yang telah dibuat Dr Mahathir dan pada masa yang sama menunjukkan tiada kata sepakat antara parti dalam PH berkenaan perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menambah, kerajaan PH wajar menentukan sama ada pilihanraya PBT baik atau tidak untuk dilaksanakan segera.

"Jika ia hendak dilakukan di Shah Alam, itu kena bincang dengan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari sama ada beliau setuju atau tidak.

Artikel Berkaitan:

"Saya sebagai ketua pembangkang Selangor setakat ini belum lagi berbincang bersama yang berhormat pembangkang yang lain berkaitan dengan isu pilihanraya PBT ini," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak pilihanraya PBT diperlukan sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, namun kerajaan negeri dan pusat perlu memberi keutamaan perkara lain yang lebih memberi manfaat kepada rakyat.

"Rakyat juga berhak memilih pentadbiran tempatan masing-masing di samping kerajaan negeri dan pusat. Tapi, biarlah kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat itu fokus dahulu yang utama seperti masalah ekonomi dan pelaburan malaysia serta memikirkan cadangan atau pandangan lain untuk mereka melunaskan janji-janji pilihanraya yang lepas terlebih dahulu," katanya.