Bila amalan lantikan politik dalam GLC akan berakhir?

Bekerja sebagai ‘bos’ di syarikat korporat dan wakil rakyat secara serentak amat memerlukan komitmen tinggi. - Foto hiasan/Bernama
Bekerja sebagai ‘bos’ di syarikat korporat dan wakil rakyat secara serentak amat memerlukan komitmen tinggi. - Foto hiasan/Bernama
A
A
A

MERAK Jalanan hairan dengan sikap parti politik yang tidak mahu berubah, masih melantik orang sendiri memegang jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka cakap tak mahu lagi buat begitu tapi selepas menang, lain pula yang dilakukan.

Orang politik memang suka beri janji manis dan ‘hancurkan’ harapan rakyat yang mahu GLC diurus sendiri oleh individu berkelayakan dalam kalangan teknokrat tanpa campur tangan ahli politik.

Jika orang politik itu ada pengalaman mentadbir perniagaan sekalipun, pengisian jawatan di GLC bakal mengundang kesan negatif. Ini kerana dikhuatiri setiap keputusan yang dibuat oleh mereka akan memberi kesan terhadap GLC dan lebih memihak kepada kepentingan politik.

Kebiasaannya, individu politik yang dilantik mempunyai kuasa dan mempengaruhi pengurusan dalam menentukan hala tuju GLC berkenaan.

Lebih membimbangkan jika individu itu tiada kemahiran dan sekadar mahu mencari pengalaman baharu.

Bagi mengelak situasi itu berlaku, lebih baik ahli politik tumpukan usaha membangunkan kawasan diwakili dan jaga rakyat di tempat sendiri tanpa melibatkan mana-mana GLC.

Bekerja sebagai ‘bos’ di syarikat korporat dan wakil rakyat secara serentak amat memerlukan komitmen tinggi. Bukan apa, bimbang tak mampu mengurus, GLC terumbang-ambing dan rakyat di kawasan pula susah nak jumpa wakil rakyat sendiri.

Jangan guna istilah demi rakyat untuk kaut kepentingan uruskan dua jawatan tersebut. Maka, Merak Jalanan sarankan sudah tiba masa kerajaan menggubal undang-undang atau wujudkan satu akta khusus menghalang sebarang lantikan politik dalam GLC.

Buktikan kerajaan serius nak hapuskan amalan diwarisi daripada kerajaan terdahulu. Rakyat sedang memerhati. Bila rakyat bersuara kritik kerajaan, jangan pula tuduh rakyat suka pembangkang.