Lelaki warga asing ditahan bersama kayu gaharu

Pokok karas yang dipercayai di tebang oleh warga asing bagi mencari gaharu di dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar), Bera.
Pokok karas yang dipercayai di tebang oleh warga asing bagi mencari gaharu di dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar), Bera.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menahan seorang lelaki warga asing kerana memiliki sebongkah kayu dipercayai gaharu dalam Hutan Simpan Pemuliharaan Tasek Bera (Ramsar), Bera pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, lelaki berusia 56 tahun ditahan dalam Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang turut disertai beberapa anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Menurutnya, turut ditemui sebuah pondok dipercayai tempat tinggal warga asing itu bagi tujuan mencari gaharu dalam hutan simpan terbabit

"Hasil pemeriksaan di pondok berkenaan, kita menemui beberapa barangan seperti telefon bimbit, jerat binatang, daging binatang liar, lampu suluh, gergaji dan alat mengukir kayu yang digunakan untuk memisahkan gaharu dengan kayu pokok.

"Kita juga menemui pokok karas yang sudah ditebang bagi tujuan mendapatkan garas yang terdapat di dalam batangnya," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Hizamri berkata, beberapa hutan simpan di Pahang dikenal pasti menjadi lokasi warga asing untuk menceroboh bagi mencari pokok karas.

Tambahnya, justeru anggota Unit Penguat Kuasa JPNP Zon Pahang Barat dan Timur sentiasa melakukan pemantauan secara berkala.

"Kita tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan hutan antaranya seperti menceroboh dan memindahkan hasil hutan tanpa kebenaran," tegasnya.

Mohd Hizamri bagaimanapun meminta kerjasama daripada semua pihak termasuk orang asli supaya memberi maklumat mengenai aktiviti pencerobohan hutan simpanan dan pencarian pokok karas.

Tegasnya, aduan daripada pelbagai pihak dapat menyekat kegiatan berkenaan daripada terus berleluasa di negeri ini.

"Pokok karas antara pokok yang dilindungi di negeri ini, ia tidak dibenarkan ditebang bagi apa juga tujuan.

"Mereka yang terbukti menebang boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.