Kilang bateri diarah pindah jika ada pencemaran plumbum

Laporan muka depan akhbar Sinar Harian berkaitan pencemaran plumbum di Jenjarom, Kuala Langat, Jumaat lalu.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengarahkan sebuah kilang bateri di Jenjarom, Kuala Langat dekat sini, dipindah ke kawasan industri lebih sesuai jika hasil siasatan dan kajian agensi teknikal mengesahkan terdapat pencemaran plumbum disebabkan operasi kilang berkenaan.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Hee Loy Sian berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Jabatan Alam Sekitar Selangor (JAS) dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) untuk menjalankan satu kajian merangkumi kawasan berhampiran kilang serta kawasan sekitar termasuklah ladang kelapa sawit berhampiran.

“Pihak Jabatan Kesihatan melalui Unit Kesihatan Pekerja dan Alam Sekitar telah pun memulakan operasi kajian sampel darah serta membuat screening ke atas kawasan sekitar melalui mapping yang dirangka. Pihak Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) juga diarah mengambil tindakan mengadakan persampelan ke atas pekerja-pekerja kilang itu serta kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Plumbum ancam penduduk Jenjarom

Pakar beri amaran bahaya plumbum

Menurutnya sebelum ini kilang yang menghasilkan bateri boleh dicaj semula itu menjalankan aktiviti utama yang dibenarkan iaitu melibatkan acid filling tanpa melibatkan sebarang aktiviti peleburan plumbum ataupun kitar semula bateri terpakai.

Katanya, kilang yang beroperasi sejak 2014 itu bagaimanapun terbakar pada 12 Disember 2017 sehingga memusnahkan hampir 70 peratus bangunan kilang, dan setelah kerja-kerja pembersihan selesai dijalankan, kilang itu dibina semula pada Mac 2018 serta dibenarkan beroperasi semula pada September 2018.

“Susulan aduan dan siasatan dilakukan oleh JAS pada 12 dan 13 September 2018, JAS mengambil tindakan menahan operasi kilang kerana Loji Pengolahan Efluen tidak berfungsi dengan sempurna bermula 13 November 2018 di bawah Seksyen 38 (1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 selama tempoh dua minggu.

“JAS juga membuat persampelan terhadap pelepasan efluen secara terus ke longkang awam, pelepasan effluent dari Loji Pengolahan Efluen dan persampelan buangan terjadual selain mengeluarkan Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 supaya pihak kilang melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan,” katanya.

Selain itu Loy Sian berkata, JAS turut mencadangkan tindakan mahkamah terhadap pelepasan efluen perindustrian melebihi had piawai dan mengesyorkan kilang itu untuk dituduh di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling kerana melakukan proses pemerolehan kembali plumbum tanpa kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling 1974 serta beroperasi tanpa pemantauan oleh orang berwibawa.

Katanya JAS juga mengenakan enam kompaun berjumlah RM12,000 terhadap kilang itu kerana ketidakpatuhan terhadap pengurusan buangan terjadual dan mengenakan Perintah Larangan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bermula 30 Januari lepas, bagi bangunan tambahan yang digunakan untuk melebur plumbum dari aktiviti mengitar semula plumbum dari bateri terpakai.

Media sebelum ini melaporkan mengenai dakwaan lebih 6,000 penduduk Kampung Jenjarom diancam pelbagai penyakit termasuk yang boleh membawa maut, akibat terdedah kepada pencemaran logam berat plumbum dipercayai berpunca daripada kilang bateri itu. - Bernama