Belanjawan berjaya jika sistem penyampaian cekap

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

MINGGU lepas, majoriti ahli Dewan Rakyat menyatakan sokongan pada Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 sekali gus bermakna belanjawan pertama yang dibentangkan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan berjaya diluluskan.

Peruntukan belanjawan tertinggi dalam sejarah yang mencecah RM388.1 bilion bagi tahun 2023 itu menjadi harapan tinggi kepada semua lapisan masyarakat di negara ini.

Tanpa banyak pertikaian, pastinya kita semua setuju sebahagian besar peruntukan adalah untuk meminimumkan beban rakyat iaitu RM64 bilion diikuti peruntukan kedua terbesar iaitu RM36.3 bilion untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Namun rakyat bimbang apakah belanjawan ini benar-benar sampai ke tangan mereka menerusi sistem penyampaian yang ada sekarang?

Ini kerana banyak peruntukan sebelum ini gagal memenuhi kehendak rakyat khususnya membabitkan bantuan kepada rakyat.

Pada 6 Mac lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan peruntukan RM50 juta untuk mangsa banjir di Johor akan disalurkan terus kepada mereka yang terkesan dengan bencana berkenaan dan bukannya kepada negeri yang terbabit.

Bantuan secara langsung kepada mangsa banjir oleh kerajaan pusat itu membuktikan bahawa Putrajaya mahu memperbaiki sistem penyampaian ke arah yang lebih cekap dan telus.

Cerita lambakan peruntukan bajet untuk sistem kesihatan juga telah lama didendangkan, namun saban tahun peruntukan untuk menambah baik kemudahan tidak sampai ke klinik kampung.

Terdapat keluhan dan pengalaman seorang pegawai daerah yang terpaksa menunggu lebih lima jam untuk mendapat rawatan di hospital besar. Kejadian ini berlaku disebabkan pihak hospital berkenaan tidak mempunyai katil yang kosong untuk pesakit sedia ada.

Ini salah satu isu sistem penyampaian menyentuh kemudahan kerajaan yang daripada dahulu nampaknya tiada kesudahan.

Sehubungan itu, Putrajaya perlu mencari mekanisme baharu yang cekap dan telus dalam memastikan keberkesanan sistem penyampaian negara.

Tidak ada makna jika diumumkan peruntukan terbesar dalam sejarah belanjawan negara, namun sistem penyampaian masih ditakuk lama yang melalui pelbagai proses di peringkat agensi kerajaan yang akhirkan tidak sampai ke tangan rakyat.