Pelajar sekolah terjejas banjir ditempatkan di premis sementara

Ahmad Zahid (dua, kiri) menyerahkan replika kunci rumah PPRT kepada Azmi Ahmad (dua, kanan) ketika lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar pada Ahad. - Foto Bernama
Ahmad Zahid (dua, kiri) menyerahkan replika kunci rumah PPRT kepada Azmi Ahmad (dua, kanan) ketika lawatan kerja ke Ibu Pejabat Kejora, Bandar Penawar pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KOTA TINGGI - Kerajaan akan menyelesaikan masalah pelajar di 17 sekolah di Johor yang terjejas teruk akibat banjir supaya mereka dapat memulakan sesi persekolahan yang dibuka pada 19 Mac ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pelajar terlibat akan ditempatkan di premis-premis sementara yang akan dipastikan mempunyai suasana kondusif bagi membolehkan sesi pelajaran dapat dijalankan dengan selesa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara berkata, perkara tersebut sudah dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal bencana negara dan koordinasi akan dilakukan melibatkan kerjasama Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta beberapa agensi lain.

"Ini termasuk kerjasama dengan beberapa jawatankuasa bencana peringkat negeri dan daerah. Ini akan dilakukan secepat mungkin.

"Apa yang penting murid-murid boleh terus belajar walaupun tidak terlalu kondusif keadaannya tetapi kita akan ikhtiar sesegera mungkin," katanya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora), Bandar Penawar di sini pada Ahad.

Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi; Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) serta Pengurus Besar Kejora, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.

Pada 6 Mac lalu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tiada penangguhan sesi persekolahan bagi kalendar akademik 2023/2024 yang dijadual pada 19 dan 20 Mac ini di negeri yang terjejas banjir.

Menurut Fadhlina, sekiranya kerja-kerja baik pulih sekolah terjejas akibat banjir tidak sempat dilaksana sebelum tarikh tersebut, pelajar akan diberi pilihan menjalani pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Beliau memberitahu, terdapat 17 sekolah terjejas teruk akibat banjir di Johor dan Segamat merupakan paling teruk iaitu 14 sekolah manakala daerah lain, tiga sekolah.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid berkata, perbincangan telah dilakukan untuk menguruskan keadaan pasca banjir di kawasan terlibat seluruh negara.

"Ramai yang membantu semasa banjir tetapi pasca banjir (tidak ramai yang membantu) banyak lagi (bantuan dan kerja-kerja menguruskan keadaan selepas banjir perlu dilakukan).

"Bukan (mereka) tidak mahu bertanggungjawab, bukan tidak boleh tolong sebab mungkin daripada segi peralatan, daripada segi pembaikan dan daripada segi pembersihan ini memerlukan kos yang banyak," katanya.

Mengenai keadaan banjir termenung di Batu Pahat yang mengakibatkan air lambat surut, beliau berkata, kerja-kerja mengepam air keluar dari kawasan banjir telah mula dilakukan.

"Perdana Menteri pun sudah mengumumkan peruntukan RM50 juta untuk kerajaan negeri, geran untuk membeli peralatan dan Menteri Besar Johor juga telah hantar permohonan (bantuan banjir). Insya-ALLAH kita akan tangani satu persatu," katanya.

Setakat jam 12 tengah hari Ahad, seramai 42,706 mangsa banjir daripada 12,047 keluarga di seluruh Johor masih ditempatkan di 152 pusat pemindahan sementara (PPS).