44,463 mangsa masih terkesan banjir di Johor

Beberapa kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar pada Rabu. - Foto: Bernama
Beberapa kenderaan cuba untuk meredah banjir ketika tinjauan di Jalan Utama Yong Peng ke Muar pada Rabu. - Foto: Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di negeri ini mencatatkan sedikit penurunan kepada seramai 44,463 penduduk daripada 12,581 keluarga setakat jam 10 pagi tadi.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, situasi berkenaan turut menyaksikan penutupan tiga pusat pemindahan banjir PPS di sekitar negeri.

"Penutupan tiga PPS berkenaan menjadikan hanya 183 PPS yang masih beroperasi di seluruh negeri setakat ini.

"Bagaimanapun, sebanyak tujuh daerah melibatkan Batu Pahat, Tangkak, Muar, Seganat, Kluang Mersing dan Kota Tinggi," katanya.

Tambah Azmi, sebanyak 10 sungai di Segamat, Muar dan Batu Pahat mencatatkan sedikit penurunan walaupun masih berada pada aras bahaya.

Katanya, bagi daerah Segamat (Sungai Muar di Buloh Kasap berada di paras 9.27meter (m), bagi daerah Muar, Sungai Muar di Bukit Kepong (4.94m) dan Sungai Muar di Panchor (2.84m) manakala bagi daerah Batu Pahat, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok mencatatkan 19.91m, Sungai Bekok di bandar Yong Peng (3.07m), Sungai Sembrong di Parit Karjo (2.42m), Empangan Sembrong (12.07m), Sungai Simpang Kanan di Parit Besar (2.02m), Sungai Simpang Kiri di Sri Medan, (2.65m) dan 1.92m (Sungai Simpang Kiri di Parit Sulong.

Sementara itu Azmi berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) melaporkan tiada amaran ribut petir termasuk hujan berterusan dikeluarkan bagi negeri Johor setakat 10 pagi.

Katanya, cuaca juga diramalkan cerah kecuali hujan di daerah Segamat, Kota Tinggi dan Kulai.

"Selain itu, beberapa jalan utama juga masih ditutup kepada semua kenderaan di Segamat, Muar, Mersing, Kulai, Kota Tinggi, Kluang dan Batu Pahat kecuali di Jalan Johor Bahru Seremban di laluan FT001, Seksyen 115.0 di Sungai Temehel.

"Laluan berkenaan dibuka buat semua kenderaan kecuali motosikal kerana dinaiki air setinggi 0.30m," katanya.