Pengecualian kepada UMNO, mungkin ada pakatan politik - Mohd Amar

Mohd Amar
Mohd Amar
A
A
A

KOTA BHARU - Pas perpandangan keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian kepada UMNO mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden menimbulkan pelbagai isu termasuk kemungkinan wujudnya unsur pakatan politik.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, pertikaian menjadi lebih ketara apabila pengecualian daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu bertentangan dengan kandungan surat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) seperti tersebar.

“RoS kata usul itu tidak sah, tiba-tiba menteri kata beri pengecualian. Ini yang menimbulkan persoalan iaitu konflik antara surat itu dengan kenyataan menteri.

“Kalau menteri ada kuasa, kenapa pengecualian itu diberikan kepada UMNO, sedangkan ada pertubuhan lain yang berhadapan dengan masalah sama tetapi tidak mendapat pengecualian seperti itu seterusnya berbangkit pula isu mungkin ada pakatan politik,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim di sini pada Rabu.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendedahkan kewujudan surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa usul tambahan PAU 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen Pakatan Nasional (PN) itu mendakwa RoS berpandangan usul tambahan itu tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Dalam perkembangan lain, Mohd Amar memaklumkan Pas sentiasa bersedia menerima kerjasama daripada mana-mana parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Setakat ini belum ada perbincangan dalam PN berkaitan kerjasama dengan mana-mana parti lain termasuk membabitkan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang sebelum ini dikatakan mahu sertai kami.

“Kami terima dengan tangan terbuka mana-mana pihak yang mahu menyokong PN, namun tidak akan melibatkan agihan kerusi kerana itu ialah perkara berbeza,” katanya.