[VIDEO] Usul tambahan UMNO: Pas gesa menteri jelaskan kriteria pengecualian

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu percanggahan surat yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung keputusan usul tambahan UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu dibangkitkan di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mempersoalkan kesahihan kenyataan yang dikeluarkan kepada media berbanding surat yang tular.

Justeru, beliau mahu Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan kriteria dalam memberi pengecualian kepada UMNO daripada mematuhi Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) berhubung keputusan meluluskan usul tambahan berkenaan.

Menurutnya, dalam perenggan dua surat surat tular itu menyatakan bahawa jabatan itu mendapati usul tambahan UMNO yang dibuat dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 adalah tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan perlembagaan parti berkenaan.

"RoS dalam surat tersebut juga memutuskan usul tambahan berkenaan adalah tidak sah.

"Saya tidak tahu surat ini asli atau tidak tetapi bercanggah dengan kenyataan akhbar diberikan menteri dalam negeri yang memberikan pengecualian kepada UMNO.

"Ini adalah satu isu kepentingan awam. Kalau inilah amalan yang dilakukan, adakah pertubuhan-pertubuhan lain boleh jadikannya contoh?" katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Saifuddin dalam kenyataan pada Selasa berkata, berdasarkan Seksyen 70, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832], kementerian itu memutuskan untuk memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta 832 kepada UMNO berhubung keputusan usul tambahan yang telah diluluskan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022.

Ia berkaitan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO yang tidak akan dipertandingkan pada pemilihan parti UMNO akan datang.