Campur tangan KDN: Pertikaian boleh dibawa ke mahkamah

Saifuddin ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Saifuddin ketika sesi soal jawab pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Parlimen ke-15.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Isu campur tangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi pengecualian daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) kepada UMNO untuk tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti itu mendapat perhatian ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) menggesa penjelasan lanjut daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kerana mencampuri urusan perlembagaan UMNO dengan memberi pengecualian mengikut Seksyen 70 akta itu.

Saifuddin Nasution menegaskan, sebarang pertikaian terhadap keputusan yang diputuskan itu, ahli UMNO boleh mencabar pengecualian berkenaan di mahkamah.

“Saya ketika mengguna pakai (kuasa), kita ada bahagian yang berikan pandangan, pada akhirnya kita buat keputusan. Saya tidak mahu pergi lebih mendalam sebab sekarang bukan masanya.

“Isunya, ada aduan RoS buat satu keputusan, urusan koresponden kerajaan ada klasifikasi sulit, rahsia besar. Mesti ada alasan dan sebabnya. Jadi, apakah saya perlu beri penjelasan?

"Saya sendiri meneliti sebelum buat keputusan. Dengan kefahaman yang jelas, keputusan ini ada kesan yang boleh mengundang tindakan atau proses seterusnya ke mahkamah. Saya menyedari perkara ini,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Parlimen pada Rabu.

Terdahulu, Takiyuddin mendedahkan wujud surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung UMNO menyatakan bahawa usul tambahan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022 yang menghalang pertandingan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden sebagai tidak sah.

Menurut surat bertarikh 2 Mac lalu, Ketua Whip Parlimen PN itu mendakwa Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berpandangan usul tambahan itu tidak teratur serta bertentangan dan bercanggah dengan peruntukan Fasal 9.3 Perlembagaan UMNO.

Pada Selasa, Saifuddin Nasution dalam satu kenyataan memaklumkan, KDN memberi pengecualian kepada UMNO daripada pematuhan Seksyen 13(1)(c)(iv) Akta Pertubuhan 1966, berhubung keputusan usul tambahan tidak mempertandingkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden pada pemilihan parti tahun ini.

Keputusan itu diberi mengikut Seksyen 70 Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan menteri boleh menggunakan budi bicaranya untuk mengecualikan mana-mana pertubuhan berdaftar daripada semua atau mana-mana peruntukan dalam Akta Pertubuhan 1966.

Saifuddin Nasution menjelaskan, keputusan yang dibuat itu tidak dipengaruhi oleh mana-mana urusan peribadi.

Malahan, katanya, ia dibuat selepas mendapat nasihat dan pandangan pegawai undang-undang kementeriannya.

Selain itu, ia juga mengambil kira semua proses yang dijalankan RoS, UMNO serta pandangan pegawai di KDN.

“Apabila kita buat perkara ini, pengecualian terarah kepada pengecualian kepada pematuhan Seksyen 13 dalam Akta Pertubuhan.

“Jika pengadu tidak berpuas hati, kalau dikatakan menteri melampaui batas, tindakan yang ada ialah dia boleh kemukakan pernyataan mengikut saluran undang-undang dan kami akan diminta untuk menjawabnya,” ujarnya.