Bank Islam perkasa usahawan wanita

Mohd Muazzam (lima dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan Amal Musa’adah Bank Islam selepas selesai majlis penyerahan.
Mohd Muazzam (lima dari kiri) bergambar bersama penerima bantuan Amal Musa’adah Bank Islam selepas selesai majlis penyerahan.
A
A
A

ALOR SETAR - Inisiatif Amal Musa’adah Bank Islam merupakan usaha sama strategik untuk membantu usahawan mikro wanita mengembangkan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Mohd Muazzam Mohamed berkata, Kedah merupakan negeri kedua menerima bantuan ini selepas Terengganu menerima peruntukan RM100,000 tahun lalu.

Menurutnya, program yang dilancarkan pada 2017 ini memperuntukkan RM70,000 kepada 56 Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) di Kedah yang menerima bantuan berbentuk peralatan perniagaan.

“Kita akan perluaskan ke negeri lain selepas ini. Program dengan kerjasama AIM ini memperuntukkan RM70,000 hingga RM100,000 berdasarkan keperluan perniagaan masing-masing,” katanya pada majlis penyerahan zakat perniagaan dan bantuan Amal Musa’adah Bank Islam, di sini hari ini.

Mohd Muazzam berkata, usahawan wanita asnaf yang terpilih merupakan penerima yang disaring daripada tujuh daerah di negeri ini.

“Bank Islam beri tumpuan kepada usahawan bagi memastikan kelangsungan perniagaan mereka, kita bekerjasama dengan AIM dengan menyediakan pembiayaan, pendidikan dan latihan terutama kepada usahawan kecil,” katanya.

Pada majlis sama, Bank Islam menerusi Sadaqa House, sebuah platform digital pendanaan awam Islamik menyalurkan sumbangan kepada rakan strategiknya,Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) kepada tiga usahawan wanita dalam bentuk peralatan perniagaan bernilai lebih RM7,500.

“Sadaqa House adalah produk perbankan Bank Islam pertama di Malaysia yang bantu mentadbir dana sumbangan daripada orang ramai melalui projek dicadangkan oleh kami. Sumbangan RM500,000 pertama daripada orang ramai akan ditambah oleh Bank Islam sebanyak RM500,000 lagi, dan diurus secara telus,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, inisiatif ini dibangunkan untuk memperluaskan peranan perbankan dalam memajukan ekonomi kewangan Islam, dan tidak hanya bertumpu kepada aktiviti perbankan.

"Saya harap masyarakat mempunyai keyakinan untuk menyumbang menerusi platform ini dalam membantu golongan memerlukan,” katanya.

Inisiatif yang dilancarkan pada 2018 ini turut menjalin kerjasama dengan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dalam pembiayaan perumahan untuk golongan asnaf.

“Kami komited bantu usahawan yang menyumbang kepada ekonomi serta peningkatan taraf hidup, menerusi bantuan Amal Musa’adah dan Sadaqa House. Kami mahu perkasa usahawan wanita sejajar dengan objektif untuk membasmi kemiskinan,” katanya.

Mohd Muazzam berkata, Bank Islam turut mengenal pasti empat penerima dari daerah Yan untuk Projek Rumah Bantuan, untuk menerima sebuah rumah baharu dengan kos mencecah RM172,000.

Pada majlis itu, Bank Islam turut menyerahkan zakat perniagaannya kepada LZNK, sebanyak RM424,867.57. Sejak 2010, Bank Islam telah menunaikan zakat lebih RM2.9 juta kepada Kedah, menjadikan jumlah terkumpul mencecah RM3.4 juta.