MBI sokong pengesahan umur berteraskan privasi di platform Zetrix

My Blockchain Infrastructure (MBI) Sdn Bhd pada Isnin mengumumkan sokongan terhadap penyelesaian pengesahan umur berteraskan perlindungan privasi yang dibangunkan di platform Zetrix.
Langkah ini direka untuk membantu platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan mematuhi syarat akses berkaitan had umur, di samping meminimumkan pengendalian data peribadi pengguna sebagai sebahagian daripada inisiatif Malaysia Blockchain Infrastructure.
Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Azhar Abu Talib berkata, di seluruh dunia, penggubal dasar sedang mencari cara untuk melindungi pengguna muda dalam talian dengan lebih baik. Justeru, pengesahan umur mesti dilaksanakan secara bertanggungjawab.
"MBI menyokong keupayaan pengesahan umur ini sebagai pendekatan praktikal dan mengutamakan privasi bagi membantu pengendali platform memenuhi keperluan keselamatan dan kawal selia, di samping meminimumkan pengendalian data peribadi yang tidak diperlukan," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Zetrix AI Berhad, TS Wong berkata, pihaknya berbangga dapat bekerjasama dengan MBI.
"Zetrix AI akan bekerjasama dengan MBI untuk membolehkan pengesahan yang dipercayai, mudah diterima pakai oleh platform dan mudah diselesaikan oleh pengguna, sambil mengekalkan privasi dan peminimuman data sebagai teras," katanya.
Terdahulu, di Malaysia, perbincangan mengenai kemudaratan dalam talian, keselamatan kanak-kanak dan penggunaan media sosial secara bertanggungjawab semakin rancak, seiring dengan usaha yang lebih meluas bagi memperkukuh tadbir urus digital dan perlindungan pengguna.
Seperti yang diumumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, sebuah sandbox industri telah dilancarkan pada 1 Januari 2026 bagi menilai penyelesaian jaminan umur untuk memperkenalkan had minimum 16 tahun bagi penggunaan media sosial.
Pada masa sama, MBI menyatakan bahawa penyelesaian yang disokong ini menyediakan pilihan yang praktikal dan berskala untuk platform yang ingin mengukuhkan pengesahan umur tanpa memerlukan pengguna mengemukakan dokumen identiti atau maklumat peribadi sensitif secara berulang kali.
Menerusi penyelesaian ini, pengguna hanya perlu mengesahkan identiti mereka sekali sahaja melalui pengeluar identiti nasional dan penyedia pengesahan yang diiktiraf kerajaan seperti MyDigital ID atau Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe).
Proses ini mengesahkan umur pengguna berdasarkan sumber rasmi, seumpama semakan identiti digital yang sedia ada yang digunakan untuk perkhidmatan kerajaan atau agensi kawal selia.
Susulan pengesahan tersebut, pengguna akan menerima bukti umur digital yang selamat.
Bukti ini tidak mengandungi rekod identiti penuh, salinan kad pengenalan, atau data biometrik. Sebaliknya, ia hanya mengesahkan perkara yang diperlukan, contohnya sama ada pengguna memenuhi kriteria had umur yang ditetapkan.
Apabila pengguna mendaftar atau mengakses media sosial atau platform pemesejan, mereka boleh mengemukakan bukti umur tersebut kepada platform berkenaan.
Platform itu kemudiannya dapat mengesahkan kelayakan pengguna seperti ‘16 tahun ke atas’, tanpa menerima butiran peribadi yang tidak diperlukan seperti nama penuh, alamat atau imej dokumen pengenalan.
Platform hanya merekodkan keputusan pengesahan yang ringkas bagi menyokong kawalan akses berdasarkan umur dan tetapan keselamatan, sekali gus mengurangkan jumlah data sensitif yang perlu disimpan dan dilindungi oleh pihak platform.
Direka dengan mengambil kira privasi, kepercayaan dan keperluan kawal selia
MBI berkata, penyelesaian ini direka untuk mengimbangi keselamatan dalam talian dengan perlindungan privasi yang kukuh.
Rekod yang dicipta semasa proses pengesahan dikekalkan pada tahap minimum yang diperlukan bagi tujuan jaminan dan audit, serta dilindungi oleh kawalan akses yang ketat.
Bahan sensitif yang digunakan semasa semakan identiti seperti data mentah kenali-pelanggan-anda secara elektronik (eKYC) tidak disimpan untuk selama-lamanya.
Bahan-bahan tersebut dipadamkan dengan selamat secara berjadual atau dalam tempoh masa yang dipersetujui, sekali gus mengurangkan risiko penyalahgunaan atau ketirisan data.
Sekiranya dikehendaki oleh undang-undang, penyelesaian ini berupaya menyokong proses kawal selia atau perundangan yang sah melalui saluran yang diberi kuasa dan ditadbir urus dengan jelas.
Sebarang tindakan untuk menghubungkan semula rekod pengesahan kepada individu tertentu dikawal dengan ketat dan tertakluk kepada proses sewajarnya bagi memastikan akauntabiliti tanpa mendedahkan data peribadi secara rutin.
Dalam pada itu, MBI dan Zetrix AI menjemput pengendali media sosial dan perkhidmatan pemesejan untuk mendapatkan penerangan lanjut mengenai penyelesaian yang disokong ini melalui taklimat produk, perbincangan integrasi dan penerangan tadbir urus.
Program rintis dan perancangan pelaksanaan turut disediakan untuk organisasi yang akan melaksanakan pengesahan umur sebagai keperluan kawal selia baharu atau yang akan datang.
Ringkasan AI
- My Blockchain Infrastructure (MBI) Sdn Bhd mengumumkan sokongan terhadap penyelesaian pengesahan umur di platform Zetrix
- Inisiatif ini bertujuan untuk membantu platform media sosial dan perkhidmatan pemesejan mematuhi syarat akses berumur sambil meminimumkan pengendalian data peribadi
- Penyelesaian ini membolehkan pengesahan umur tanpa perlu pengguna mengemukakan dokumen identiti atau maklumat peribadi sensitif berulang kali
- Pengguna hanya perlu mengesahkan identiti mereka sekali melalui pengeluar identiti nasional dan penyedia pengesahan yang diiktiraf kerajaan
- Penyelesaian ini direka dengan mengambil kira privasi, kepercayaan dan keperluan kawal selia, mengurangkan risiko penyalahgunaan atau ketirisan data
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

