Hub Usahawan Wanita pacu ekonomi

Usaha RISDA tingkatkan daya saing wanita luar bandar

A
A
A

Noraini (tiga kanan) mengiringi Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Hub Usahawan Wanita di WTC pada Khamis.
Noraini (tiga kanan) mengiringi Ahmad Zahid (tengah) merasmikan Hub Usahawan Wanita di WTC pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Inisiatif Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) mewujudkan Hub Usahawan Wanita adalah langkah penting dalam memberdayakan wanita dan memacu pertumbuhan ekonomi di luar bandar.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, RISDA memberi komitmen tinggi untuk mencapai objektif dalam Model Perancangan Strategik 2021-2025.

Menurut Noraini, matlamat utama RISDA adalah memastikan bahawa pekebun kecil mampu memperoleh pendapatan bulanan sebanyak RM4,500 bagi setiap isi rumah menjelang akhir 2025.

"Menerusi usaha program keusahawanan ini, RISDA mencapai kejayaan mengagumkan dalam memperkukuh kemampuan pekebun kecil getah dan usahawan wanita.

No Image Caption

"Program aktiviti ekonomi tambahan (AET) ini berjaya melahirkan seramai 741 orang usahawan baharu dan bantuan kepada usahawan sedia ada telah memberi manfaat kepada 1,844 orang usahawan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merasmikan Hub Usahawan Wanita di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di ibu negara pada Khamis.

Selain itu katanya, seramai 4,943 pekebun kecil getah mencapai atau melebihi pendapatan bulanan sebanyak RM2,500 melalui aktiviti keusahawanan.

No Image Caption

Jelasnya, dengan adanya Hub Usahawan Wanita ini, ia menunjukkan komitmen RISDA dalam mempromosikan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan daya saing perniagaan digerakkan wanita di luar bandar.

"Hub ini akan menjadi platform penting yang menyediakan peluang dan sokongan kepada pekebun kecil wanita, memberi mereka kekuatan untuk mengatasi cabaran akses pasaran, sumber bahan mentah dan pembangunan perniagaan.

"Melalui pelancaran Hub Usahawan Wanita ini, ia akan berfungsi untuk membimbing seramai 11,502 orang usahawan wanita yang akan menjadi tulang belakang pelbagai segmen perniagaan di kawasan luar bandar," kata Noraini.

No Image Caption

Jelasnya lagi, hub itu akan memudahkan peluang pemasaran, memperluas rangkaian perniagaan dan menyediakan akses kepada sumber pendidikan dan pembangunan disesuaikan dengan keperluan mereka.

Sebarang inisiatif yang disediakan RISDA boleh dilayari di laman sesawang www.suararisda.my.