Lagi kes racun pelajar perempuan di Iran

Tangkap layar video menunjukkan
ambulans tiba di salah sebuah sekolah di Qom selepas menerima laporan pelajar perempuan mengalami keracunan. - Foto Agensi
Tangkap layar video menunjukkan ambulans tiba di salah sebuah sekolah di Qom selepas menerima laporan pelajar perempuan mengalami keracunan. - Foto Agensi
A
A
A

TEHERAN - Pelajar perempuan di Iran sekali lagi menjadi sasaran serangan 'racun ringan' dalam gelombang insiden itu yang mencetuskan kebimbangan ibu bapa dan mendesak pihak berkuasa bertindak.

Sejak lebih tiga bulan lalu, ratusan pelajar perempuan dilaporkan mengalami gejala seperti kesukaran bernafas, mual dan vertigo selepas terkesan dengan bau yang tidak menyenangkan dan tidak diketahui.

“Tiba-tiba ada bau busuk sangat, saya jadi pening dan jatuh,” kata seorang pelajar.

Kes keracunan itu yang menyebabkan beberapa pelajar perempuan dimasukkan ke hospital, menjadi topik perbualan hangat dengan Timbalan Menteri Kesihatan, Younes Panahi minggu lalu berkata, serangan itu disyaki bertujuan menyekat pendidikan untuk kanak-kanak dan pelajar perempuan.

Kes mula berlaku lebih lima bulan lalu selepas bermulanya siri protes yang dilabelkan sebagai rusuhan oleh pihak berkuasa, tercetus daripada kematian Mahsa Amini, 22, yang ditahan kerana dikatakan melanggar etika berpakaian wanita di Iran.

Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi melaporkan penemuan sampel mencurigakan ketika pemeriksaan di kawasan terjejas tetapi tidak memberikan maklumat lanjut.

Kebanyakan kes keracunan sejak November tahun lalu dilaporkan di bandar Qom yang terletak di selatan ibu negara Tehran, dengan sekurang-kurangnya 52 sekolah di seluruh negara menjadi sasaran.

Lapor agensi berita ISNA, kes keracunan terbaharu turut menjejaskan pelajar di Abhar dan Ahvaz.

Ia menambah, kanak-kanak perempuan sekolah rendah juga menjadi sasaran di bandar Zanjan dengan lebih banyak kes dilaporkan di Mashhad, Isfahan dan Shiraz.

Minggu lalu, pihak pendakwa raya telah membuka siasatan jenayah dan mendapati ia adalah jenayah terancang.

Ada ibu bapa mendakwa, anak mereka mengalami keletihan berpanjangan selepas mengalami keracunan. - AFP