'Lebih baik sertai Kem Anak Soleh daripada bermain gajet'

Seramai 60 peserta menyertai Kem Anak Soleh 2.0 anjuran Rumah Ngaji Wahidah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selama dua hari di Surau Kampung Tokeng, Tepoh di Kuala Nerus.
Seramai 60 peserta menyertai Kem Anak Soleh 2.0 anjuran Rumah Ngaji Wahidah dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) selama dua hari di Surau Kampung Tokeng, Tepoh di Kuala Nerus.
A
A
A

KUALA NERUS - [DIKEMAS KINI] Peserta Kem Anak Soleh 2.0 anjuran RumahNgaji Wahidah dengan kerjasama RumahNgaji Terengganu dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tokeng menyifatkan program yang yang disertai mereka sempena cuti persekolahan itu lebih memberi manfaat dan ilmu pengetahuan berbanding bermain gajet.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mizan Zainal Abidin (STEMZA), Nurnurnadhirah Kamarul Zaman, 16, berkata, kem yang disertainya kali ini memberi pendedahan terhadap kaedah pengurusan diri mengikut syariat Islam bagi mereka yang telah akil baligh.

"Saya sudah banyak kali sertai kem sebegini termasuk kem solat dan sebagainya, tapi kem kali ini sedikit berbeza sebab kami didedahkan dengan lebih terperinci mengenai kaedah pengurusan diri dengan cara yang betul bagi orang Islam.

"Program ini beri banyak manfaat kepada saya dan kawan-kawan kerana dapat menambahkan ilmu pengetahuan dan dalam masa yang sama dapat mengisi masa dengan aktiviti berfaedah berbanding bermain gajet," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Ahad.

Dari kiri: Amiera Maisarah, Nurnurnadhirah dan Muhammad Amirul Haikal
Dari kiri: Amiera Maisarah, Nurnurnadhirah dan Muhammad Amirul Haikal

Sementara itu, pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Cempaka, Amiera Maisarah Mohd Badri, 12, berkata, dia gembira kerana dapat ilmu pengetahuan baharu selain bertemu rakan-rakan baharu di dalam kem tersebut.

"Kem ini banyak memberikan saya ilmu pengetahuan baharu. Bagi saya, lebih baik sertai kem seperti ini dan tidak hanya menghabiskan masa melihat gajet dan menonton televisyen sepanjang cuti sekolah.

"Saya sarankan kepada sesiapa yang belum sertai kem-kem begini boleh sertai sebab banyak benda baharu yang kitr pelajari," katanya.

Senada dengan Amiera Maisarah, Muhammad Amirul Haikal Mohd Amiruddin, 13, yang juga dari sekolah sama berkata, dia berasa bertuah kerana dapat menyertai kem itu ketika cuti persekolahan.

"Saya pertama kali sertai program begini sebab selama ini setiap kali cuti sekolah saya bermain bola sepak, gajet dan basikal sahaja.

"Bagi saya banyak ilmu baharu yang saya pelajari daripada kem ini," katanya.

Sementara itu, Pengusaha Rumah Ngaji Wahidah, Siti Mariam Ibrahim berkata, Kem Anak Soleh 2.0 disertai seramai 60 peserta terdiri 30 pelajar lelaki dan 30 perempuan berusia lingkungan 9 hingga 17 tahun.

Jelasnya, kem berlangsung selama dua hari bermula Ahad hingga Isnin itu disertai oleh seorang penceramah dan enam fasilitator iaitu guru kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) serta guru agama.

"Program kali ini ini banyak memberi pendedahan kepada peserta mengenai ilmu fardu ain. Banyak aktiviti yang dimuatkan sepanjang tempoh dua hari program ini diadakan.

"Ini merupakan program kali kedua diadakan di sini selepas kali pertama diadakan pada Mac tahun lalu," katanya.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Tokeng, Ahmad Sabri Sulaiman berkata, beliau berharap program seumpama itu dapat diadakan lagi pada masa akan datang.

"Program begini dapat banyak sambutan di kampung ini terutama pada musim cuti persekolahan. Ramai ibu bapa yang mahu hantar anak-anak mereka sertai program seumpama ini.

"Kita harap ia terus dihidupkan dan dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar serta dapat sambutan yang lebih menggalakkan pada datang," katanya.