Mangsa banjir di Johor terus meningkat

Anggota bomba melakukan pemantauan banjir di enam penempatan sekitar Tangkak, pada Jumaat. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
Anggota bomba melakukan pemantauan banjir di enam penempatan sekitar Tangkak, pada Jumaat. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Johor terus mencatatkan peningkatan mangsa banjir apabila 37,528 orang daripada 10,792 keluarga ditempatkan di 240 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 12 tengah hari Sabtu.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, jumlah itu meningkat berbanding 37,322 orang daripada 10,793 keluarga ditempatkan di 238 pusat pada jam 8 pagi.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, sebanyak sembilan daerah terjejas akibat banjir.

"Banjir melibatkan Segamat, Batu Pahat, Kluang, Muar, Kota Tinggi, Tangkak, Mersing, Johor Bahru dan Pontian.

"Segamat masih menjadi daerah paling teruk terjejas yang menempatkan 12,900 mangsa daripada 3,785 keluarga di 77 PPS diikuti Batu Pahat (7,830 mangsa daripada 2,294 keluarga di 45 PPS) dan Kluang (5,285 mangsa daripada 1,533 keluarga di 39 PPS)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, sebanyak 18 sungai mencatatkan paras bahaya di enam daerah dengan Batu Pahat melibatkan lima sungai, Segamat (enam), Batu Pahat (lima), Muar (tiga), Kluang (tiga) dan Tangkak (satu).

Selain itu katanya, 75 jalan terjejas akibat banjir iaitu di Kota Tinggi melibatkan 27 jalan, Segamat (23), Kluang (11), Mersing (lima), Batu Pahat (enam), Tangkak (dua) dan Johor Bahru (satu).