Bina sebuah kompleks dakwah untuk perkhidmatan percuma

Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.
Pengarah Urusan MADAD, Mohammad Yaakub Yusra (kanan) menerima trofi Bisnes Sinar Harian Awards (BISA) daripada Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli pada 23 Februari lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan mudah meneruskan satu legasi yang diilhamkan untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat.

Murtadha Dakwah Centre atau MADAD ditubuhkan pada Januari 2018 di Kampung Teluk Sungai Petani Kedah pada awalnya dikenali sebagai Pusat Dakwah Darul Murtadha.

MADAD yang kini dalam fasa pembinaan masjid, hampir siap 90 peratus berperanan sebagai sebuah pusat sehenti kepada masyarakat setempat.

Malah, di situ juga terdapat sebuah pusat maahad tahfiz dan pembelajaran agama dengan jumlah kira-kira 30 pelajar.

Selain pembinaan masjid, kawasan seluas 13 ekar merangkumi sebuah kompleks yang dilengkapi dengan kemudahan terkini untuk diwakafkan kepada masyarakat setempat.

Pengarah Urusannya, Mohammad Yaakub Yusra berkata, MADAD yang diasaskan arwah abangnya Murtadha Yusof, 32, adalah amanah yang perlu diteruskan demi masyarakat setempat.

“Fokus awal MADAD adalah dakwah dan pendidikan. Kami juga adakan kelas pengajian warga emas, kanak-kanak, kelas remaja dan klinik al-Fatihah.

“Sampai pada satu peringkat kami merasakan tidak cukup dengan dakwah dan pendidikan, apabila berlakunya Covid-19 kami fokus pula kepada kebajikan.

“Kami bentuk kumpulan sukarelawan ‘Hang Cangkul’ (menguruskan jenazah) pada fasa kedua gelombang covid-19 tahun 2020 selama setahun lapan bulan dan kami urus jenazah secara percuma kecuali permit kubur waris perlu uruskan.

“Selepas itu wujud pula ‘Hang Cuci’ untuk misi bencana banjir dan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam dan dilantik sebagai organisasi bersekutu,” katanya kepada Sinar Harian.

Antara ternakan yang turut menjadi salah satu cabang perniagaan MADAD.
Antara ternakan yang turut menjadi salah satu cabang perniagaan MADAD.

Ujarnya, pada hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), orang ramai boleh datang ke MADAD untuk mendapat barangan keperluan asas tanpa perlu mengisi borang dan sebagainya.

“Hanya datang dan ambil barang yang diperlukan dan boleh pulang, tujuannya untuk memudahkan orang ramai yang terkesan akibat Covid-19.

“Kami juga wujudkan rumah kucing untuk kucing terbiar dan setakat ini ada lebih 100 ekor kucing dalam jagaan.

“Rumah kucing ini selesa dilengkapi penghawa dingin dan setiap minggu doktor haiwan datang untuk memeriksa kucing bagi mengelak dijangkiti penyakit,” jelasnya.

MADAD turut mempunyai rumah anak yatim dan pusat pemulihan akhlak yang dibantu dari segi kewangan.

“Apabila ia berjalan serentak, berlaku masalah iaitu dari segi kos harian. Tak boleh bergantung sepenuhnya sumbangan orang ramai kerana ia tidak stabil untuk jangka masa panjang.

“MADAD menubuhkan satu syarikat iaitu Murtadha International Sdn Bhd (MISB) dan di bawahnya mempunyai 14 anak syarikat lain.

Pusat tanaman pertanian diusahakan bagi mencambahkan pendapatan syarikat.
Pusat tanaman pertanian diusahakan bagi mencambahkan pendapatan syarikat.

Menurutnya, perniagaan itu merangkumi penternakan, pertanian, perikanan, unit khas saham, hartanah, rumah inap desa, peruncitan serta perkhidmatan makanan dan minuman.

“Pada 2020 iaitu fasa permulaan PKP, kami bertahan kerana tiada kutipan dan bergantung hampir sepenuhnya kepada projek-projek asas dan dasar MISB. Syukur kami dapat buat sedikit keuntungan dan dapat membeli aset.

“Jadi itulah permulaan bagaimana kami terlibat dalam dunia bisnes walaupun berada dalam bidang dakwah dan pendidikan,” katanya sambil memberitahu, unit khas saham yang

ditubuhkan membantu membiayai kos MADAD.

Dengan kerjasama Fakulti Khas Ekonomi Saham, Universiti Teknologi Mara (UTM) Skudai dan Asri Ahmad Academy (AAA), MADAD mampu menjana pendapatan lebih RM100 juta ketika PKP.

MADAD: Perniagaan dan jatuh bangun

MADAD yang mempunyai 100 kakitangan sepenuh masa turut menceburi bidang ternakan haiwan termasuk ikan air tawar dan udang galah.

Mereka juga bekerjasama dengan Restoran Tok Keramat, Jitra bagi membolehkan cawangannya dibuka di kompleks MADAD.

Dalam pada itu, MADAD turut merancang mewujudkan hotel kapsul di masjid bagi memberi kemudahan kepada orang ramai yang dalam perjalanan jauh berhenti berehat.

“Masjid dibuka 24 jam untuk orang ramai singgah solat. Kami juga tampilkan konsep masjid yang berbeza dengan menyediakan taman permainan untuk kanak-kanak bermain.

“Malah kita adakan juga sebuah auditorium untuk permainan e-sport secara percuma dilengkapi kemudahan Internet dengan syarat apabila tiba waktu solat, mereka kena berhenti bermain dan sama-sama menunaikan solat.

“Insya-ALLAH selepas siap pembinaan masjid pada 1 Ramadan nanti, kita akan segerakan pembinaan Stadium E-Sport yang dibina bersebelahan masjid diikuti rumah warga emas.

“Apa yang menariknya mengenai rumah warga emas, penghuni mestilah dengan rela hati dan bukan desakan daripada anak-anak. Oleh kerana ia percuma, sumbangan semula yang perlu mereka berikan kepada MADAD adalah dengan melibatkan diri dalam aktiviti pengurusan jenazah dan harus mempelajari ilmu agama,” katanya.

Kembangkan bisnes

Di sebalik kejayaan yang dibina, Mohammad Yaakub akui pelbagai halangan dan kekangan juga ditempuhi.

“Bidang perniagaan dan kerja amal memang banyak cabarannya ia termasuklah dari segi tuduhan berkaitan kewangan.

“Kami buat audit secara terbuka, kami jemput Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) lakukan forensik audit.

“Hasil siasatan, tidak berlaku sebarang pecah amanah. Tiga tahun kami buat audit dan serah kepada SPRM dan alhamdulillah, kami mendapat anugerah sebagai Rakan Strategik SPRM Kedah,” ujarnya.

MOHAMMAD YAAKUB
MOHAMMAD YAAKUB

Menyertai perniagaan memberi peluang beliau lebih bersemangat untuk mengembangkan rangkaian hubungan dengan usahawan-usahawan lain.

“Hubungan apabila dijalinkan bukan hanya untuk silaturahim tetapi mengembangkan lagi

jaringan perniagaan masing-masing.

“Hari ini orang Islam berpecah belah disebabkan fahaman politik, mazhab dan prinsip-prinsip yang akhirnya kita menjadi serpihan kecil.

“Saya seru para usahawan untuk kembali cari titik persamaan dan meletakkan persaingan sebagai pelengkap antara satu sama lain.

“Para usahawan perlu sambutan apa juga cabaran termasuk isu-isu inflasi dan sebagainya dengan cara bergabung untuk sama-sama kita lonjakkan semula ekonomi negara yang kita cintai,” katanya mengakhiri perbualan.

PROFIL

Nama: Mohammad Yaakub Yusra

Umur: 32

Syarikat: Murtadha International Sdn Bhd (MISB)

Latar belakang Pendidikan:

- Sarjana dalam Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah UNISHAM|2021

- Sijil Bahasa Arab dan al-Quran di Kaherah, Mesir |2013-2015

- Ijazah Pengurusan Manusia Sumber Manusia Universiti Pertahanan Malaysia UPNM |2012

Hubungi kami:

Laman web: https://madadcentre/.co/m/

Facebook: https://www.facebook.com/DarulMurtadha

Untuk menderma: MURTADHA DAKWAH CENTRE (nombor akaun Maybank - 5520 5980 7117)