Banjir: Sarawak mahu adaptasi sistem Belanda

Abang Johari - Foto Bernama
Abang Johari - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Sarawak akan mengadaptasi sistem saliran terbaik dunia termasuk dari negara Belanda bagi menangani banjir di negeri itu.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, buat masa ini kerajaan negeri sedang melaksanakan satu kajian menyeluruh dalam usaha memperbaiki sistem saliran sedia ada.

Beliau berkata, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian yang baru pulang dari Belanda baru-baru ini akan mengetuai misi melaksanakan kajian itu.

"Belanda merupakan sebuah negara yang berada di bawah paras laut dan mereka mempunyai sistem baik yang mungkin boleh kita gunakan di Sarawak.

"Kita akan laksanakan sistem baharu ini secara berperingkat, mungkin kita mula di Kuching dahulu kemudian ke Sibu dan ini juga akan bergantung pada dana kita,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Jenis Kebangsaan Chung Hua Batu Kawa di sini, yang menempatkan seramai 80 orang mangsa banjir daripada 19 keluarga.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, projek sistem saliran baharu tersebut juga bakal melibatkan satu peruntukan besar dan kerajaan bersedia memberi komitmen itu bagi menyelesaikan masalah banjir.

Setakat pagi ini, seramai 338 orang daripada 87 keluarga di kawasan Kuching, Siburan, Engkelili dan Debak telah dipindahkan ke empat PPS di Sarawak. - Bernama