Kemudahan e-gate di BSI perlu ditambah baik

Andrew Chen menunjukkan aduan yang diterima berhubung isu e-gate yang menimbulkan kesesakan di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru.
Andrew Chen menunjukkan aduan yang diterima berhubung isu e-gate yang menimbulkan kesesakan di CIQ, Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kemudahan e-gate di pintu masuk negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang dibuka kepada warga Singapura menimbulkan kesesakan luar biasa kepada warga Malaysia yang hendak pulang ke negara ini.

Ketua Pembangkang Johor, Andrew Chen Kah Eng berkata, isu berkenaan timbul berikutan masih ramai warga Singapura yang tidak menyedari syarat-syarat dikenakan sebelum menggunakan kemudahan e-gate berkenaan.

"Masih ramai tidak sedar bahawa mereka perlu menghantar Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) secara dalam talian tiga hari sebelum perjalanan dan mengesahkan biometrik di kaunter-kaunter Imigresen untuk kali pertama.

"Jangan lupa rakyat negara sendiri. Kerajaan membenarkan warganegara Singapura menggunakan kaunter e-gate yang digunakan penduduk kita apabila memasuki Malaysia, namun Singapura tidak menyediakan kaunter e-gate khas untuk rakyat Malaysia, hanya untuk warganegara mereka sahaja.

"Ketika warganegara Singapura menghadapi masalah semasa menggunakan kaunter e-gate di CIQ BSI, mereka akan berulang kali mencuba namun barisan di belakang mereka semakin panjang," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Andrew Chen yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stulang berpendapat Kementerian Dalam Negeri perlu menyediakan kaunter e-gate khas untuk warganegara Malaysia.

"Inisiatif pembukaan e-gate kepada warganegara Singapura ini perlu ditambah baik memandangkan timbul isu tidak puas hati dalam kalangan warga Malaysia yang melintasi laluan darat Malaysia-Singapura terutama di BSI," katanya.

Pada 20 Januari lalu, kemudahan e-gate di dua pintu masuk negara di Kompleks Kastam CIQ, BSI Johor dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) dibuka kepada warga Singapura.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pembukaan e-gate akan memberi manfaat kepada 30,000 hingga 50,000 warga republik itu yang berulang alik ke Johor untuk tujuan sosial.