Mahkamah larang muat naik video perbicaraan Najib

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini hari ini mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak memuat naik dan menyebarkan video rakaman prosiding perbicaraan kes yang sedang berlangsung melibatkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali turut mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang komen di media sosial berhubung rakaman prosiding tersebut.

Ketika membuat perintah tersebut, Mohd Nazlan berkata rakaman transkrip prosiding mahkamah (CRT) yang dibekalkan kepada pasukan peguam bela dan pendakwa raya tersebut hanya untuk kegunaan mahkamah dan bukan untuk disebarkan.

"Sebarang pelanggaran boleh menyebabkan mahkamah tidak lagi memberikan rakaman CRT kepada kedua-dua pihak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat penularan video rakaman prosiding bicara Najib

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Pengawai Khas Najib muat naik rakaman prosiding bicara di FB

Terdahulu pada awal prosiding hari ke-6 perbicaraan tersebut, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V Sithambaram memohon satu perintah daripada mahkamah susulan tindakan seorang pembantu khas Najib, Isham Jalil yang berkongsi video CRT di laman media sosialnya Jumaat lalu.

Menurut Sithambaram, rakaman CRT hanya dibekalkan kepada para peguam atau mana-mana pihak yang layak memohon dalam bentuk cakera padat.

Artikel Berkaitan:

"Pihak berkenaan tidak sewajarnya mengemukakan salinan itu kepada pihak lain, atau menyebarkan ke mana-mana medium.

"Pengguna media sosial juga harus diberi amaran untuk tidak memuat naik tanpa kebenaran dari mahkamah,"ujarnya.

"Sehubungan itu katanya pihaknya memohon perintah mahkamah supaya menghalang pihak ketiga daripada memuat naik CRT tanpa kebenaran," katanya.

Bagaimanapun, Mohd Nazlan bersetuju dengan hujah peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib bahawa kes ini masih dalam siasatan dan mahkamah tidak boleh membuat keputusan awal berhubung isu itu.

Dalam pada itu Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam bela Najib Razak bagaimanapun mempertahankan penyebaran video tersebut.

Muhammad Shafee secara sinis turut membidas tindakan pendakwa raya yang sebelum ini membantah permohonannya menuntut perintah larangan supaya masyarakat dan media tidak membuat sebarang komen atau ulasan yang menyentuh berhubung merit kes, namun, perkara itu dibantah Peguam Negara, Tommy Thomas.

"Jika perkara tersebut dibenarkan masalah ini tidak akan berlaku,"katanya sambil mengaitkan dengan peribahasa, 'siapa makan cabai dia yang terasa pedas'.

Malah menurut Shafee tindakan tersebut merupakan amalan biasa yang diamalkan sistem kehakiman di England.

"Kami mahukan perbicaraan ini disiarkan secara langsung. Video yang dimuat naik ini tidak memudaratkan sesiapa," katanya.

Shafee berkata rakaman tersebut wajar dimuat naik untuk tontonan umum untuk mengelakkan laporan berat sebelah.