Cadangan teruskan projek LCS dibentang dalam masa terdekat

Kementerian Pertahanan dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek LCS melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri. - Foto Bernama
Kementerian Pertahanan dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek LCS melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pertahanan ketika ini dalam fasa akhir untuk memuktamadkan cadangan penerusan projek kapal tempur pesisir (LCS) melalui penyediaan Memorandum Jemaah Menteri yang akan dibentangkan dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ia antara penelitian khusus yang diambil bagi memastikan projek ini dapat diteruskan sekali gus memperkasakan lagi sistem pertahanan dan perairan negara.

“Kementerian Pertahanan memberi tumpuan sepenuhnya dalam melangkah ke hadapan bagi memastikan projek LCS ini diteruskan semula.

“Untuk makluman, Kementerian Pertahanan telah membentangkan kertas mengenai hala tuju berkaitan perolehan LCS kepada Jemaah Menteri sebanyak empat kali iaitu pada 20 November 2020, 5 Mei 2021, 4 Mac 2022 dan 20 April 2022,” katanya di Dewan Rakyat di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) yang memintanya menyatakan langkah diambil dalam mengatasi isu projek LCS untuk yang semakin meruncing.

Selain itu Mohamad berkata, kementeriannya bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM); Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), khususnya pihak Boustead telah melihat semula perancangan perolehan LCS ini bersama dengan Kementerian Kewangan (MOF), Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU), dan juga Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mencari jalan penyelesaian terbaik untuk meneruskan projek ini.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau turut menjelaskan terdapat tujuh tindakan yang disyorkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk diambil terhadap pihak yang terlibat dalam skandal LCS.

Katanya, berdasarkan syor itu enam merupakan tindakan yang perlu diambil kementeriannya, manakala satu lagi di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Ingin saya jelaskan, daripada enam syor ini (di bawah Kementerian Pertahanan), empat syor telah selesai dilaksanakan dan baki dua syor lagi sedang dalam tindakan,” katanya.