Kos keseluruhan pembinaan LCS tidak dikurangkan - Mohamad

Mohamad Hasan
Mohamad Hasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan tidak mengurangkan kos pembinaan kapal tempur pesisir (LCS) sebanyak RM9 bilion yang telah diluluskan sebelum ini, meskipun jumlah kapal dikurangkan kepada lima berbanding enam.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, keputusan itu diambil dengan mengambil kira pertambahan kos termasuklah kenaikan harga peralatan.

“Sebenarnya tidak ada pengurangan dalam siling (kos pembinaan LCS) yang diluluskan, siling itu tetap sama (RM9 bilion) disebabkan oleh pertambahan kos iaitu harga barang (dan) semuanya meningkat.

“Wang yang digunakan saya sendiri telah melihat (ia telah digunakan dan ada barang ) di dalam gudang, semua telah dibeli bahkan kapal LCS pertama, enjin telah berada dalam badan dan sebahagiannya.

“Cuma (sekarang ini) hendak memasang dengan secara spesifik (sahaja),” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Nordin Ahmad Ismail (PN-Lumut) mengenai berapakah jumlah kos sebenar pembinaan LCS selepas kerajaan mengurangkan jumlah kepada kepada lima berbanding enam yang telah diumumkan sebelum ini.

Tambah Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan projek ini diteruskan.

“Saya ingin menyatakan pendirian bagi meneruskan perolehan LCS ini adalah untuk memperkasakan keupayaan operasi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam memelihara kedaulatan perairan negara.

“Ia juga selari dengan objektif pertahanan negara yang terkandung dalam Kertas Putih Pertahanan,” katanya.

Januari lalu, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayub mengumumkan perolehan kumpulan pertama LCS dikurangkan daripada enam kepada lima selepas proses permohonan semula dilakukan.

Katanya, keputusan itu dibuat ketika kerajaan memutuskan untuk meneruskan projek pembinaan kapal tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyatakan kerajaan membayar RM6.083 bilion untuk lima LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan dikeluarkan pada 4 Ogos lalu turut menyenaraikan sembilan rumusan sebagai punca kepincangan projek pembinaan enam LCS bagi kegunaan TLDM bernilai RM9 bilion.