[VIDEO] Vandalisme: Beri peluang pelajar, didik secara teguran

Fadlina beramah mesra bersama para pelajar ketika mengadakan lawatan sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 di SMK Jalan Empat pada Isnin. - Foto Bernama
Fadlina beramah mesra bersama para pelajar ketika mengadakan lawatan sempena Hari Pertama Peperiksaan Bertulis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2022 di SMK Jalan Empat pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

BANGI - Sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai yang terlibat dalam aktiviti vandalisme seperti tular dalam rakaman video baru-baru ini perlu diberi peluang dengan dididik dari segi teguran dan kaunseling secara berterusan, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Fadhlina memaklumkan memahami bahawa ramai pihak yang kesal dengan kejadian itu namun katanya, perkara tersebut sewajarnya ditangani secara bersama bagi memastikan pelajar berkenaan tidak lagi mengulangi perbuatan terbabit.

"Siasatan selesai dan kita telah memanggil pelajar serta ibu bapa mereka, intervensi dan proses ini juga telah dilakukan oleh jabatan pendidikan negeri (JPN) serta pejabat pendidikan daerah (PPD) disusuli kaunseling.

"Selepas ini kita akan lihat hasil daripada kaunseling itu apa yang menyebabkan mereka jadi begitu tetapi saya nak ulang bahawa mereka ini merupakan anak-anak kita.

"Saya fikir kita jangan putus asa, faham ramai yang marah dengan kejadian tersebut namun saya fikir anak-anak kita ini mesti diberikan peluang untuk didikan teguran dan kaunseling berterusan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan sempena hari pertama Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, di sini, pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan pihak sekolah telah memulakan siasatan terhadap video tular sekumpulan pelajar sebuah sekolah menengah di Seberang Perai yang bertindak 'meraikan' penggal terakhir persekolahan dengan merosakkan pelbagai peralatan dan kemudahan sekolah.

Fadhlina berkata, kumpulan pelajar terlibat dalam kegiatan vandalisme itu telah dipanggil oleh pihak sekolah bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

JPN Pulau Pinang pula memaklumkan sekumpulan pelajar yang terlibat dalam aktiviti vandalisme di dalam bangunan sebuah sekolah itu akan dikenakan khidmat komuniti sebagai intervensi sahsiah dan adab.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menyerahkan isu disiplin berkenaan kepada pihak sekolah selain percaya pihak berkaitan telah mengambil beberapa tindakan khusus untuk menangani isu vandalisme berkenaan.

"Mengenai soal jumlah berapa ramai pelajar dipanggil, saya tidak boleh dedahkan perkara tersebut kerana ia melibatkan dari segi integriti selain ingin melindungi anak-anak ini.

"Kita minta juga supaya identiti dan wajah mereka tidak didedahkan termasuk identiti sekolah," ujarnya.

Tambah Fadhlina, sekiranya ada pihak sudah memuat naik video berkenaan maka diminta untuk memadamkannya dari media sosial.

"Kita memang nak jaga anak-anak ini supaya mereka dapat diberikan kaunseling. Kita bimbang jika ia terus disebarkan akan ganggu proses intervensi," jelasnya.