Ramai teruja dengar radio apabila KJ jadi DJ

Khairy ketika memulakan tugas sebagai penyampai radio Hot FM bermula jam 6 hingga 10 pagi Rabu.
Khairy ketika memulakan tugas sebagai penyampai radio Hot FM bermula jam 6 hingga 10 pagi Rabu.
A
A
A

TERLEBIH dahulu Merak Jalanan nak ucapkan tahniah kepada radio HotFM di atas idea bernas mereka menawarkan jawatan sebagai penyampai radio kepada bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ).

Hashtag yang diberikan pun iaitu ‘KJjadiDJ’ sangat menarik serta catchy.

Justeru, pada hari pertama bersiaran, ramai yang tertunggu-tunggu kemunculan ‘Abah’ di radio.

Dan akhirnya apabila KJ bersiaran, seperti dijangka, beliau menjadi ‘Raja Trending’ pada hari tersebut.

Ternyata aura KJ telah berjaya meraih 5.78 juta interaksi di media sosial.

Rata-rata komen yang Merak Jalanan baca, ramai yang terhibur dan memuji penampilan KJ.

Masing-masing tersenyum dan bercerita dengan asyiknya di pejabat sehingga waktu makan tengah hari.

Terutama golongan kakak-kakak.

Nampaknya dengan kemunculan KJ sebagai radio telah membuka mata ramai pihak terhadap radio.

Contohnya Merak Jalanan sendiri.

Jika sebelum ini, Merak Jalanan tidak mendengar radio dan hampir terlupa kewujudan radio kerana asyik dengan media sosial seperti TikTok, namun apabila KJ membuat kemunculan, semangat itu jadi lain.

Itulah hebatnya aura dan pengaruh KJ.

Jadi mungkinkah selepas ini, akan lebih ramai lagi personaliti-personaliti akan bergelar penyampai radio?

Jika ya, Merak Jalanan berharap agar mana-mana stesen lebih peka dalam membuat pemilihan.

Bukan sahaja sebagai penyampai radio, tetapi sebagai apa-apa sahajalah.

Ini kerana, sejak akhir-akhir ini, Merak Jalanan dapat lihat, bukan radio sahaja malah televisyen juga turut membawa personaliti yang ‘entah apa-apa’.

Tidak ada kepentingan langsung dalam industri tetapi diketengahkan sebagai tetamu undangan.

Kemudian diperkenalkan sebagai ‘Selebriti Undangan’. Apooo... (bahasa slanga zaman sekarang)

Justeru, Merak Jalanan berharap agar industri ini dimeriahkan dan bukannya ‘dilacurkan’ demi meraih populariti.