Ugut bunuh: Kelantan FC serah kes kepada polis

Rontini menerima mesej ugutan bunuh di Instagram dipercayai daripada peminat fanatik sukan bola sepak di negeri itu.
Rontini menerima mesej ugutan bunuh di Instagram dipercayai daripada peminat fanatik sukan bola sepak di negeri itu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kes ugutan bunuh ke atas pemain import Kelantan FC, Christian Rontini dianggap selesai susulan tindakan segera polis yang sudah mengenal pasti individu terbabit.

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman berkata, pihaknya menyerahkan kes tersebut kepada pihak polis.

Norizam yang turut dikenali sebagai Zamburger memberitahu, pemain Kelantan FC menerima banyak sokongan daripada penyokong selepas pendedahan tersebut.

"Rontini kini dapat menumpukan perhatian dan gembira dengan sokongan berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Ahad.

Norizam (depan, empat dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Ahad.
Norizam (depan, empat dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Kelantan FC di Stadium Sultan Muhammad IV, pada Ahad.

Dalam pada itu, Norizam juga teruja menyatakan pasukan itu sudah membuktikan hampir bergelar juara Liga Perdana pada musim lepas.

"Insya-ALLAH kita boleh melakukan kejutan dalam Liga Super musim ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zamburger juga yakin isu jersi cetak rompak dapat ditangani berikutan Kelantan FC menawarkan harga mampu milik.

"Harga RM39 dengan kualiti yang baik dan tidak mahal, saya pasti penyokong setia akan membelinya bagi menunjukkan sokongan kepada pasukan," katanya.

Tambah beliau, pasukan itu turut menyasarkan jualan cenderamata sebanyak RM800,000.

"Saya percaya jumlah itu boleh dicapai kerana pesanan setakat ini mencapai RM200,000," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, tidak mustahil jualan keseluruhan cenderamata itu mampu mencecah sehingga RM1 juta pada musim ini.