Selangor bantu golongan bujang miliki rumah di bandar

Rodziah (tengah) pada sidang akhbar Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 di Hotel Pullman Bangsar pada Khamis.
Rodziah (tengah) pada sidang akhbar Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0 di Hotel Pullman Bangsar pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Golongan bujang dijangka mampu memiliki rumah mampu milik di bawah RM114,750 dalam kawasan bandar melalui penetapan Dasar Perumahan Rumah Selangorku 3.0.

Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, ia berkonsep rumah satu bilik berkeluasan 450 kaki persegi bagi memenuhi keperluan kumpulan tersebut di Selangor.

Menurutnya, dasar itu selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk memastikan rumah mampu milik bagi golongan sasar dapat diteruskan ketika negara dalam proses pemulihan pasca pandemik Covid-19.

"Ia juga bagi memenuhi permintaan majoriti daripada golongan pemohon di bawah umur 30 tahun yang rata-rata bujang dan masih baharu dalam dunia pekerjaan di kawasan pusat bandar.

"Statistik menunjukkan 55 peratus pemohon Rumah Selangorku terdiri kumpulan berusia 29 tahun ke bawah, 44 peratus berumur 30 hingga 49 tahun, manakala satu peratus babitkan golongan berusia 50 tahun ke atas," katanya pada sidang akhbar Rumah Selangorku 3.0 di Hotel Pullman Bangsar pada Khamis.

Beliau berkata, menerusi dasar sama, kerajaan negeri turut menawarkan kediaman golongan berkahwin babitkan rumah jenis dua, tiga dan empat bilik dengan penetapa harga jualan maksimum antara RM153,000 hingga RM250,000 mengikut kategori.

Ujar beliau, penyediaan rumah satu dan dua bilik ini telah dilaksanakan di negara maju seperti Singapura dan United Kingdom yang konsep ini realistik untuk dibangunkan di kawasan berkepadatan tinggi.

"Konsep rumah jenis solo dan duo ini diputuskan oleh kerajaan negeri melalui perbincangan yang mengambil masa lebih setahun.

"Dasar ini mensyaratkan penyediaan rumah jenis tersebut dibangunkan hanya di kawasan pembangunan berorientasikan transit (TOD), pembangunan bersebelahan transit (TAD), kawasan pusat bisnes (CBD) di kawasan majlis bandaraya seperti Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya," katanya.

Katanya, Rumah Selangorku telah menjadi jenama perumahan mampu milik yang mendapat permintaan aktif melebihi penyediaan sepanjang lapan tahun pelaksanaan.

"Sehingga 1 Februari lalu, sebanyak 83,603 permohonan aktif direkodkan berbanding 50,036 yang telah ditawarkan di pasaran.

"Kerajaan negeri mengambil inisiatif memastikan Rumah Selangorku dapat ditawarkan kepada lebih ramai pembeli rumah pertama dengan sasaran pembinaan sebanyak 60,000 unit menjelang 2025," ujarnya.