Pencemaran bau akibat pembuangan diesel bukan toksik

Pemasangan perangkap minyak dilakukan pihak berkenaan di longkang berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Khamis.
Pemasangan perangkap minyak dilakukan pihak berkenaan di longkang berhampiran Taman Tanjung Puteri Resort, Pasir Gudang pada Khamis.
A
A
A

PASIR GUDANG - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengenal pasti pencemaran bau di sekitar Taman Tanjung Puteri Resort dan Johor Jaya di sini berpunca daripada diesel yang dibuang ke dalam longkang di kawasan perumahan.

Pengarahnya, Dr Mohd Famey Yusoff berkata, siasatan mendapati diesel berkenaan dibuang dari sebuah premis mencuci kereta di sini dan mengesahkan pencemaran bau itu bukan daripada sisa toksik.

"Pelepasan diesel itu dari longkang awam ke Sungai Selangkah. Kita sudah mengambil tindakan dengan meminta pengusaha premis terbabit memasang 'oil boom' dan mengarahkan mereka menghentikan pelepasan diesel.

"Jika mereka tidak patuh tindakan akan diambil. Setakat ini, sampel air sudah diambil dan kertas siasatan akan dibuka," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Pada Rabu, penduduk beberapa taman di sini mendakwa berlaku pencemaran alam sekitar sejak Isnin yang bukan saja boleh dihidu selepas hujan tetapi juga ketika cuaca panas.

Mereka bimbang pencemaran itu disebabkan pihak tidak bertanggungjawab kembali membuang sisa toksik dalam sungai kerana simptom yang mereka alami sama seperti pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini iaitu mata pedih, tekak kering, baunya meloyakan dan pening kepala.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Taman Tanjung Puteri, Mohd Shah Md Ali Hanafiah, 39, berkata, pihaknya lega kerana pencemaran bau tersebut sudah dikenal pasti dan tindakan sudah diambil pihak JAS.

"Sejak semalam sampai hari ini tiada lagi pencemaran bau seperti tiga hari berturut-turut sebelum ini. Semasa melakukan rondaan di taman ini pada malam tadi pun sudah tidak ada bau lagi.

"Hari ini saya lihat pihak berkenaan sudah memasang perangkap minyak di longkang bagi mengatasi masalah ini," katanya ketika dihubungi.