'Kakak dah nak lembik'

Nurul Imani dibantu Noor Haslizaini duduk di atas ribaannya.
Nurul Imani dibantu Noor Haslizaini duduk di atas ribaannya.
A
A
A

TUMPAT - "Kakak dah nak lembik.” Itu yang kerap diadukan oleh seorang kanak-kanak perempuan sebelum kini disahkan lumpuh sepenuhnya dan sudah tidak lagi boleh bercakap sejak dua tahun lalu.

Kanak-kanak itu, Nurul Imani Abdul Rahman, 7, dilahirkan dalam keadaan normal seperti bayi lain namun dikesan menghidap penyakit epilepsi atau sawan pada usia empat bulan.

Ibunya, Noor Haslizaini Aziz, 28, berkata, walaupun kerap diserang penyakit itu, anak kedua daripada tiga beradik tersebut dapat berjalan dan bermain dengan riang serta petah bercakap sehingga usianya mencecah lima tahun.

Kesihatan kanak-kanak hiperaktif tersebut bagaimanapun semakin merosot bermula Februari 2021 dengan otaknya mulai mengecut selain hilang deria rasa makanan yang dimakan termasuk lada.

“Dulu, kalau dia berasa letih, dia akan mengadu dan pergi mengambil bantal sendiri lalu berbaring atau duduk di riba saya.

Nurul Imani yang terlantar menerima lawatan daripada Pertubuhan Prihatin Ummah Kelantan.
Nurul Imani yang terlantar menerima lawatan daripada Pertubuhan Prihatin Ummah Kelantan.

“Sekarang, dah terlantar terus, tak dapat bangun lagi untuk bermain dan hanya minum susu melalui tiub wayar serta kembali menggunakan lampin pakai buang macam bayi,” katanya semasa penyampaian sumbangan bekalan susu oleh Pertubuhan Prihatin Ummah Kelantan diwakili Timbalan Pengerusi, Ismawi Ismail di Kampung Nechang di sini pada Khamis.

Noor Haslizaini juga seorang suri rumah itu memberitahu menerima bantuan pesakit kronik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM500 sebulan.

Bagaimanapun, ia tidak mencukupi untuk menampung kos susu khas yang diperlukan oleh anaknya sekitar lebih RM5,000 sebulan ditambah anak sulung yang berusia sembilan tahun masih bersekolah.

Suaminya, Abdul Rahman Che Amat, 39, pula hanya bekerja membuat pembetung simen dengan mendapat upah tidak menentu kira-kira RM1,000 sebulan.

“Kami dah jual satu-satunya lembu yang ada bernilai RM3,500 untuk menampung keperluannya termasuk membeli mesin penyedut kahak berharga RM500 dan beg susu.

“Kalau keadaan terdesak sangat, saya meminjam wang daripada saudara atau tambahkan air kosong dalam susunya sebelum beri dia minum,” katanya sayu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh salurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0300841100048783 atas nama Noor Haslizaini Aziz atau menghubunginya di talian 013-9773079.