Maritim Kelantan lupus tujuh bot nelayan Vietnam

Bot ditenggelamkan di perairan Kuala Besar untuk dijadikan tukun tiruan.
Bot ditenggelamkan di perairan Kuala Besar untuk dijadikan tukun tiruan.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan melupuskan tujuh bot nelayan Vietnam yang telah dilucut hak oleh mahkamah secara penggelaman untuk dijadikan tukun tiruan pada jarak 5.3 batu nautika dari Kuala Besar, Kota Bharu pada Rabu.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab Rahman berkata, tiga daripada bot yang ditenggelamkan merupakan bot nelayan asing yang menggunakan nombor bot tempatan untuk mengaburi mata penguat kuasa.

“Bot-bot dirampas dalam Op Naga Barat, Op Kuda Laut dan Op Damai pada tahun 2021.

“Penahanan turut melibatkan tahanan ke atas 58 kru termasuk tekong dan rampasan pelbagai jenis ikan sebanyak 1,700 kilogram (kg) ikan baja (1,300kg), gamat (50kg) sotong kering (150kg), 27,800 liter diesel serta peralatan navigasi dan menangkap ikan dianggarkan bernilai RM7.1 juta,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini pada Rabu.

Menurut Syed Nor Adli, kesemua mereka disabitkan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan dihukum di bawah Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985.

“Nilai denda mahkamah bagi kesemua tahanan berjumlah RM12.5 juta namun kesemua kru bot dan tekong tidak menjelaskan denda. Mereka boleh dihukum penjara antara lima bulan hingga lapan bulan,” katanya.

Beliau menambah, sejak tahun 2007, Maritim Negeri Kelantan melupuskan sebanyak 264 bot nelayan asing Vietnam melalui pelbagai kaedah seperti penenggelaman, musnah, lelong dan jual serta hadiah dengan anggaran nilai lebih RM380 juta.

“Proses penenggelaman bot-bot mendapat kerjasama Institut Sumber Marin Asia Tenggara bawah Jabatan Perikanan Malaysia.

“Bot-bot melalui proses pemilihan ketat sebelum lulus untuk ditenggelamkan bagi memastikan tiada pencemaran berlaku, tidak mudah pecah dan lebih tahan untuk dijadikan tukun tiruan,” katanya.

Menurut beliau, tukun tiruan dijangka memberi manfaat kepada lebih 1,000 nelayan di kawasan sekitar termasuk peminat perikanan rekreasi.

“Maritim Negeri Kelantan sentiasa tegas dalam melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di perairan negeri ini khususnya demi memastikan sumber perikanan negara dapat dilindungi dan kedaulatan perairan negara terpelihara,” katanya.

Tambahnya, sebarang maklumat atau aduan berkaitan boleh salurkan melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.